PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan pernah menawarkan jawatan timbalan perdana menteri (TPM) kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal seperti didakwa dalam satu laporan portal baru-baru ini. Muhyiddin, dalam kenyataan pada Jumaat berkata dakwaan Mohd Shafie itu tidak benar dan adalah sebagai andaian Ketua Menteri Sabah itu semata-mata. “Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah sekali pun menawarkan jawatan timbalan perdana menteri kepada beliau pada bulan Mac selepas saya menjadi perdana menteri, seperti yang didakwa. “Saya menyifatkan kenyataan Mohd Shafie dalam wawancara sama yang menyatakan: "Beliau tidak menyebutnya, tetapi saya tahu mengenai hal itu" sebagai tidak benar, ” tambahnya. Mohd Shafie dalam wawancara Selasa lalu mendakwa Muhyiddin pernah menawarkannya untuk menyertai kabinet Perikatan Nasional (PN) sebagai timbalannya. Mohd Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna, mendakwa Muhyiddin telah menghubunginya untuk mendapatkan sokongan Warisan supaya dapat memperkuat PN. - Bernama Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!