PENURUNAN angka kes Covid-19 di negara ini tidak bermakna rakyat boleh hidup bebas tanpa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Malah kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, keadaan semasa di negara ini dipantau secara berterusan memandangkan pandemik itu juga belum berakhir sepenuhnya. "Saya sentiasa memantau keadaan terkini pandemik Covid-19. Wabak ini masih belum berakhir. Kebanyakan negara luar masih mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi. ARTIKEL BERKAITAN: Banyak kelonggaran... PM umum PKPP, rentas negeri dibenarkan mulai 10 Jun ARTIKEL BERKAITAN: PKPB sambung atau tidak, kita tunggu pengumuman PM petang ini "Sehingga semalam, hampir 14.5 juta orang telah dijangkiti virus Covid-19 di seluruh dunia dengan lebih 600 ribu kematian dicatatkan. "Walaupun kes Covid-19 kekal rendah di negara kita, saya agak bimbang dengan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," ujarnya menerusi perutusan khas pada Isnin petang. Dalam perutusan sama, Muhyiddin mengingatkan orang ramai agar meneruskan amalan kebiasaan baharu termasuklah pemakaian pelitup muka dan penjarakkan sosial. Malah katanya, setiap anggota masyarakat perlu melihat diri mereka sebagai frontliners dalam usaha membantu mengekang penularan wabak itu secara bersama. "Saya selalu berpesan supaya saudara-saudari semua elakkan berjabat tangan. Saya tengok sekarang dah ada yang bukan sahaja berjabat tangan, malah berpeluk ketika berjumpa sahabat-handai dan sanak-saudara. "Ya, itu bagus untuk eratkan persahabatan dan persaudaraan. Tetapi jangan kita lupa. Kita masih berada dalam fasa pemulihan Covid-19. "Jadi amalan-amalan ini walaupun baik dari segi pergaulan sosial, namun ianya amat tidak baik dari segi usaha kita untuk melindungi diri sendiri dan orang-orang di sekeliling kita daripada dijangkiti virus. Sehingga Ahad, Malaysia merekodkan 15 kes baharu, menjadikan keseluruhan 8,779 kes. "Setiap individu, keluarga dan komuniti adalah petugas barisan hadapan atau frontliners. Ahli keluarga dan anggota masyarakat mestilah sentiasa nasihat-menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain," ujarnya. Tambah Muhyiddin, dia juga yakin rakyat negara ini tidak sanggup sekiranya PKP dilaksanakan semula jika berlaku peningkatan kes secara mendadak. "Saya juga berdoa dan berharap agar kita tidak perlu sampai ke tahap itu. Cukuplah tiga bulan kita semua berkurung di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan. "Ekonomi negara kita terjejas teruk, perniagaan mengalami kerugian dan ramai yang hilang pekerjaan. Sudah tentu kita tidak mahu kembali hidup dalam kedaan lockdown seperti itu. "Sekiranya berlaku peningkatan kes secara mendadak dan memerlukan kerajaan menguatkuasakan semula PKP, impaknya kepada ekonomi amat besar. "Penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 bilion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia," ujarnya. Untuk rekod, PKP yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu diganti dengan PKP Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei dan berakhir 12 Mei sebelum dilanjutkan sehingga 9 Jun. Kemudiannya, kerajaan mengumumkan ia diganti dengan PKP Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini. Sehingga Ahad, Malaysia merekodkan 15 kes baharu, menjadikan keseluruhan 8,779 kes. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!