suria

Awas! Makcik pakai tudung, wristband pink... tunggu denda dan tindakan selanjutnya

Media sosial hangat memperkatakan mengenai seorang makcik yang masih dalam tempoh kuarantin keluar menikmati hidangan di sebuah restoran di Ipoh, Perak.

SATU Malaysia kecoh mengenai seorang wanita selamba keluar makan, sambil memakai tag merah jambu, menunjukkan masih dalam tempoh kuarantin di rumah.

Foto wanita digelar netizen sebagai ‘makcik’ yang asyik menikmati hidangan di sebuah restoran, tersebar sejak Isnin, sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia, warga asing pulang dari luar negara akan jalani kuarantin wajib mulai Jumaat ini

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika ditanya pemberita dalam sidang media petang Selasa mengesahkan insiden tersebut.

"Kes ini memang betul. Mereka pakai wristband (gelang tangan) tapi apabila mereka keluar di tempat awam, mereka telah dikesan oleh rakyat dengan menangkap gambar dan terus hantar gambar kepada kita.

"Individu tersebut melanggar peraturan-peraturan kuarantin di rumah. Jadi, tindakan akan diambil oleh pihak kita iaitu mungkin denda dan tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah mengenal pasti individu yang gagal mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) serta restoran yang dikunjunginya di bandar Meru Raya di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pihak JKN Perak bagaimanapun masih lagi mengumpul maklumat terperinci berhubung insiden itu yang tular di media sosial.

"Saya nasihatkan orang ramai yang pernah makan di kafe itu mengambil langkah berjaga-jaga dan sekiranya bimbang mereka boleh membuat ujian Covid-19 atau menjalankan kuarantin di rumah jika bergejala," katanya kepada pemberita.

Belum pun reda kisah makcik bertudung merah jambu itu, tular pula foto wristband yang ditanggalkan, dipercayai berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).



Foto menunjukkan wristband pemantauan kuarantin, dipercayai ditanggalkan di KLIA tular di media sosial.

Mengulas perkara itu, Dr Noor Hisham berkata, siasatan berhubung perkara itu sedang dijalankan.

"Mereka yang buka wristband dalam tempoh kurang 14 hari dan datang ke pusat atau klinik kesihatan untuk tamatkan tempoh pemantauan 14 hari, kalau tak pakai wristband akan didenda.

"Jadi untuk menyelesaikan masalah ini, kita mewajibkan kuarantin di pusat kuarantin," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat Malaysia dan warga asing yang pulang dari luar negara akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan, bermula Jumaat ini.

Bercakap pada sidang media, Selasa, katanya, keputusan tersebut dibuat susulan terdapat segelintir individu yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan kuarantin wajib di rumah setibanya dari luar negara.

Malah Ismail Sabri menjelaskan bahawa mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin di stesen kuarantin sama ada di Institut Latihan Awam (ILA) atau hotel berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini.

Tambah beliau, rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air tidak lagi diwajibkan menjalani ujian swab Covid-19 di negara asal dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh penerbangan, namun warga asing tetap perlu menjalani ujian berkenaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain