WANITA warga emas yang selamba keluar makan dengan fotonya memakai wristband pink tular di media sosial sejak Selasa, disahkan positif Covid-19. Laporan Sinar Harian yang memetik sumber menyebut, saringan kedua selepas 13 hari menjalani kuarantin mendapati wanita berusia 72 tahun itu positif dan telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh sejak 17 Julai lalu.ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Makcik pakai tudung, wristband pink... tunggu denda dan tindakan selanjutnya "Wanita itu kini masih dalam rawatan Covid-19 di hospital terbabit bersama anak lelakinya setelah ujian kali kedua didapati positif. "Berdasarkan penjelasan daripada pihak kesihatan, volume (kandungan) virus adalah kurang dan risiko menjangkiti juga kurang," katanya. Sumber itu menambah, wanita tersebut diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Julai lalu. "Saringan pertama yang dijalankan mendapati wanita tersebut negatif, namun dipakaikan gelang tersebut serta diperintahkan menjalani kuarantin," katanya. Jelas sumber itu lagi, kejadian berkenaan berlaku di sebuah kafe di Meru Raya, Ipoh pada 6 Julai lalu di mana wanita itu bersama keluarganya bersarapan setelah tiba dari Selangor, sebelum menjalani kuarantin di rumahnya sedangkan gambar itu baharu sahaja tular kelmarin. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara itu setelah siasatan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pada masa sama, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan pelanggaran SOP oleh wanita berkenaan. Beliau turut menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi SOP memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berjalan dan kes Covid-19 juga masih bertambah di negara ini. - SINAR HARIAN Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!