suria

“Janganlah pilih kami” - YouTuber Pavithra enggan terima sebarang anugerah selepas dakwaan dicederakan suami, tak mahu ada yang iri hati

Duo YouTuber masakan terkenal, M.Sugu (kiri) bersama isterinya, S. Pavithra (kanan).

SUSULAN kontroversi dakwaan dipukul suami, YouTuber masakan S. Pavithra memohon agar tiada lagi sebarang anugerah diberikan kepadanya.

Malah kata wanita berusia 28 tahun itu, dia kini mahu fokus terhadap penghasilan video masakan sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat hari sepi tanpa video, YouTube Pavithra diserbu susulan dakwaan dipukul suami - “Sejujurnya saya dah agak”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya maafkan suami” - Pavithra mahu teruskan hidup seperti biasa, fokus video masakan di YouTube

"Saya tidak layak untuk menerima pengiktirafan ikon Perak atau apa-apa pengiktirafan lagi selepas ini.

"Ramai lagi yang lebih layak kerana berbakat dalam pelbagai bidang untuk menerima pengiktirafan itu, jadi janganlah pilih kami," ujarnya.

Dia berkata demikian semasa menghadiri pendakwaan suaminya di Mahkamah Sesyen di Ipoh, Perak pada Jumaat.

Sugu (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ipoh pada Jumaat atas dakwaan memiliki sebilah sabit di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Selasa lalu.

Baru-baru ini, timbul perselisihan faham dalam keluarga mereka selepas pengiktirafan Ikon Anak Bandar Raya Ipoh Tahun 2020.

M. Sugu, 29, didakwa atas dua pertuduhan di mahkamah berkenaan hari ini kerana memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Selasa lepas.

Ibu kepada dua anak itu berkata penolakan pengiktirafan itu juga bertujuan untuk mengelakkan orang ramai daripada berasa iri hati terhadap kehidupan mereka sehingga menimbulkan perselisihan faham.

Pavithra berkata beliau telah memaafkan Sugu dan mereka berhasrat untuk meneruskan kehidupan normal bersama keluarga tanpa dikenali orang ramai seperti dahulu termasuk tidak mahu melibatkan diri dengan mana-mana ahli politik.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Youtuber, S. Pavithra, M. Sugu

Artikel Lain