suria

“Saya maafkan suami” - Pavithra mahu teruskan hidup seperti biasa, fokus video masakan di YouTube

Pavithra mengakui sudah memaafkan suaminya dan memohon orang ramai terus menyokong video YouTube mereka.

KISAH duo YouTuber, M. Sugu yang didakwa memukul isterinya, S.Pavithra ternyata mengejutkan ramai peminat.

Terbaharu, wanita berusia 28 tahun itu mengakui sudah memaafkan kesalahan suaminya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami Youtuber Pavithra didakwa miliki senjata berbahaya

"Saya maafkan suami. Apa yang terjadi semuanya berkaitan masalah keluarga dan saya sudah maafkan suami atas apa yang berlaku.

"Saya dan suami akan teruskan kehidupan seperti biasa dan kami akan kembali bersama meneruskan rancangan masakan di YouTube pada bila-bila masa sahaja," ujarnya kepada Sinar Harian.

Dia berkata demikian selepas menjelaskan bayaran jaminan RM10,000 yang dikenakan ke atas suaminya di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada Jumaat.

Sugu (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ipoh pada Jumaat atas dakwaan memiliki sebilah sabit di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Selasa lalu.

Terdahulu, Sugu, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit di tempat awam.

Pavithra yang kelihatan sedih memohon kepada orang ramai untuk terus memberi sokongan terhadap program masakan kendalian mereka di saluran YouTube 'Sugu Pavithra'.

"Saya harap tiada yang salah faham dan saya sendiri pun tidak ambil hati atas apa juga komen diberikan netizen di media sosial. Teruslah beri sokongan kepada kami," katanya.

Menerusi laporan mStar pada Rabu lalu, polis menyiasat dakwaan wanita itu yang dipukul suaminya.

"Pergaduhan dipercayai berlaku kerana mangsa tidak menyebut nama suaminya sewaktu menerima satu anugerah pada Isnin," ujar seorang sumber.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

YouTuber, Sugu Pavithra, pukul, Ipoh

Artikel Lain