suria

Dibebaskan atau didapati bersalah? Nasib Najib bakal diketahui pagi ini

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menjadi tumpuan seawal pukul 6.30 pagi. Foto: Bernama

NASIB bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sama ada dibebaskan atau didapati bersalah atas pertuduhan pecah amanah, akan diketahui pada pagi ini.

Seawal pukul 6.30 pagi, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menjadi tumpuan berikutan Mahkamah Tinggi dijadual mengumumkan keputusan kes membabitkan Najib.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan sabitkan Najib berdasarkan mahkamah pendapat umum” - Peguam

Hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka menyampaikan keputusan pada 10 pagi.

Najib, 67, menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Ketujuh-tujuh pertuduhan itu adalah - tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana SRC.

SRC International adalah bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Najib tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pukul 9.26 pagi tadi.

Sementara itu, Kompleks mahkamah di bawah pengawasan polis yang ketat iaitu pasukan Light Strike Force (LSF) dan unit K9 dikerah di pintu pagar utama.

Para wartawan dari media tempatan dan antarabangsa yang berkumpul seawal 6 pagi di pintu masuk utama hanya dibenar masuk ke kompleks mahkamah pada 8.45 pagi.

Sepuluh wartawan, seorang dari setiap pertubuhan media, diberi pas untuk membuat liputan dalam mahkamah manakala 40 wartawan lain diberi pas untuk mengikuti prosiding melalui pautan video di bilik lain. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Najib, SRC

Artikel Lain