suria

Disaman gara-gara tidak pakai pelitup muka dalam kereta, di pantai? Ismail Sabri perjelas definisi sebenar tempat awam

Kanak-kanak berumur bawah dua tahun juga tidak diwajibkan memakai pelitup muka. (Gambar Hiasan)

ARAHAN mewajibkan pemakaian pelitup muka sejak 1 Ogos lalu turut menimbulkan beberapa isu sehingga tular di media sosial.

Malah, perkara itu turut diakui sendiri oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

Ujarnya, dia peka akan kes yang dibangkitkan termasuklah kompaun yang dikenakan ke atas individu yang tidak melakukan kesalahan.

"Semalam tular di media sosial, mereka yang berada dalam kenderaan persendirian pun dikenakan tindakan. Itu tidak betul.

"Seperti saya sebutkan, kenderaan awam. Saya rasa jelas. Kenderaan persendirian bukan kenderaan awam.

"Kita bawa kereta dengan famili kita, tak payahlah pakai mask dalam kereta kerana itu merupakan kenderaan persendirian," ujarnya.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain kenderaan, Ismail turut memperjelaskan kekeliruan mengenai definisi sebenar tempat awam yang memerlukan seseorang itu memakai pelitup muka atau sebaliknya.

Ia susulan kes dibangkitkan seperti individu yang dikenakan kompaun di pantai biarpun kawasan itu tidak sesak dengan kehadiran pengunjung.

"Kalau kita sebut tempat awam sahaja, padang bola merupakan tempat awam. Kalau ada penjarakkan sosial yang begitu luas, tidak perlu memakai pelitup muka.

"Sebab itu kita kata tempat awam yang bersesak. Ada dua mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KK) yang boleh mengurangkan jangkitan.

"Pertama, pemakaian pelitup muka. Kedua mengadakan penjarakkan sosial. Jadi kalau tempat itu kawasan luas, jadi tidak diwajibkan.

"Tetapi seperti yang saya sebutkan daripada mula lagi, pelitup muka digalakkan berada di mana-mana.

"Kalau dah kawasan yang luas, tepi pantai... dia seorang je duduk tepi pantai tu. Kalau ikut peraturan wajib dia pakai sebab tempat awam. Tapi sebab itu disebut tempat awam yang besesak. Kalau dia seorang, takkan nak kena saman?" ujarnya lagi.

Malah katanya, kanak-kanak umur bawah dua tahun juga tidak diwajibkan memakai pelitup muka.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain