SUNGGUHPUN mengalami pengalaman pahit apabila kehilangan kerja gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, namun rupa-rupanya sesuatu yang lebih baik menanti pemuda ini. Dia yang sanggup mengenepikan rasa malu dengan berniaga nasi lemak di tepi jalan demi meraih pendapatan, kini mampu mengukir senyuman apabila perniagaan kecil-kecilannya itu semakin mendapat sambutan ramai. Bermula dengan hanya sebuah gerai, kini dia mampu membuka dua buah lagi gerai menjual makanan yang sinonim dengan masyarakat Melayu itu.ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda India pertaruh nasib jual nasi lemak selepas dipecat, kini tak terfikir cari kerja lain - “Ada pelanggan berhenti kereta, tak jadi beli” Kisah pemuda cekal bernama R Gurubaran ini pernah disiarkan di mStar pada 26 Jun lalu selepas ia dikongsikan oleh seorang pelayar Facebook. Malah, mStar merupakan media pertama yang menemubual pemuda berbangsa India ini sebelum kisahnya mulai tular sehingga mengubah hidupnya hampir 360 darjah. Nasi lemak yang dijual oleh Guru dimasak sendiri dengan bantuan ibunya. "Selepas mStar kongsi kisah saya, ada beberapa media lain yang menemubual dan menjemput saya menjadi tetamu program mereka. "Bukan itu sahaja, saya kemudian ditawarkan untuk mengikuti kursus untuk belia di bawah kumpulan B40. Kursus secara online ini bertujuan untuk guide orang muda dalam perniagaan, cara pemasaran, kebersihan makanan dan sebagainya. "Memang tak sangka saya berada pada tahap saya sekarang, bermula dengan hanya jual nasi lemak tepi jalan," kata pemuda berusia 24 tahun ini. Guru kini berjaya membuka dua buah gerai lagi di sekitar Rawang. Mula berniaga nasi lemak pada Mei lalu, pemuda yang senang disapa sebagai Guru berkata dia sendiri tidak menyangka ujian yang diturunkan sebelum ini rupa-rupanya digantikan dengan rezeki yang tidak disangka. Jika dahulu dia hanya menjual sekitar 40 hingga 50 bungkus, kini dia bersama keluarga tidak menang tangan menyiapkan sekurang-kurangnya 120 bungkus nasi lemak untuk dijual di ketiga-tiga gerainya. Lebih terharu, ramai yang beri sokongan dan kata-kata semangat terutama di media sosial selepas kisah saya viral dulu. Terima kasih pada semua. R GURUBARAN PENIAGA NASI LEMAK "Sekarang ini tiga gerai masih dalam kawasan Rawang. Cuma sekarang ada tambahan menu iaitu mihun goreng. Sambutan pelanggan memang tak disangka-sangka. "Sebelum ini ada yang ragu-ragu bila nampak pemuda India yang berniaga, tapi sekarang pelanggan saya berbilang kaum. Ada juga saya terima tempahan dalam kuantiti yang banyak daripada pelanggan. "Lebih terharu, ramai yang beri sokongan dan kata-kata semangat terutama di media sosial selepas kisah saya viral dulu. Terima kasih pada semua," ujarnya. Selain nasi lemak, Guru mula menjual ikan bilis yang dibelinya secara borong. Dalam pada itu, Guru berkata dia juga kini mula berjinak-jinak meneroka cabang perniagaan baharu yang bukan sahaja bertujuan untuk menjana pendapatan keluarga, tetapi membantu belia lain. "Sejak bulan lalu, saya mula berniaga ikan bilis dan juga cuba mulakan bisnes perancang acara (event planner). "Saya berhasrat nak bantu golongan belia yang mahu jana pendapatan. Sekarang saya dan rakan-rakan sedang tubuhkan kumpulan yang terdiri daripada belia khusus untuk merekrut mereka berniaga. Sesiapa yang berminat untuk sertai boleh hubungi 011-37343708," tambahnya. Pemuda ini juga mula berjinak-jinak meneroka peluang perniagaan baharu iaitu perancang acara (event planner). Berhasrat untuk membuka sebuah restoran yang disasarkan pada tahun depan, Guru dalam masa yang sama sempat menitipkan pesanan buat generasi muda khususnya yang masih terkapai-kapai merencana kerjaya. "Nak berjaya tidak senang. Saya faham ada orang muda yang mungkin rasa malu nak berniaga tepi jalan. Tapi bagi saya, jangan ada rasa malu dalam diri dan jangan putus asa. Baru boleh berjaya," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!