ORANG ramai tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan susulan sebuah hotel kuarantin yang berada di dalam sebuah pusat membeli-belah, di Perak. Menteri Kanan (Keselamtan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana individu yang dikuarantin tidak akan dibenarkan keluar daripada bilik masing-masing sehingga tempoh 14 hari.ARTIKEL BERKAITAN: Hanya 2 hari! Individu kuarantin akan ditahan jika masih gagal jalani ujian saringan Covid-19 ke-2 "Mereka (individu kena kuarantin) dah masuk hotel, mereka tak boleh keluar. Malah mereka lebih selamat dari orang yang di luar, kerana mereka telah dibuat ujian swab. Jika mereka negatif sekalipun, mereka masih perlu dikuarantin sehingga 14 hari," katanya dalam sidang media pada Selasa petang. Ismail Sabri berkata, dari 24 Julai hingga 17 Ogos, seramai 12,646 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 63 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di seluruh negara. Daripada jumlah itu, beliau berkata, 43 individu dibawa ke hospital untuk rawatan kerana didapati positif Covid-19 manakala 5,216 individu didiscaj dan dibenarkan pulang ke rumah. "Pegawai KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) bersama anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah membuat 481 pemeriksaan mengejut, bagi memastikan mereka yang masih menjalani 'home quarantine' mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan dan daripada pemeriksaan tersebut, empat individu dikenakan tindakan," katanya. Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga membenarkan individu yang dikuarantin di stesen kuarantin untuk memesan makanan dari luar, melalui penghantar secara dalam talian. Bagaimanapun, jelasnya, mereka perlu menandatangani surat aku janji dan bertanggungjawab, jika timbul sebarang masalah seperti keracunan makanan dan sebagainya. Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri mengesyorkan rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air, perlu mendaftar butiran peribadi di laman sesawang yang akan dibangunkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). Beliau berkata ini berikutan rungutan orang ramai mengenai kelewatan semasa urusan pendaftaran di stesen kuarantin, sama ada di hotel atau ILA. "Bagi memudahkan proses pendaftaran, mereka yang ingin pulang ke tanah air digalakkan untuk memberi maklumat kepada pihak Nadma, berkenaan tarikh serta masa ketibaan dan juga pilihan stesen kuarantin sama ada hotel atau ILA. "Pihak Nadma akan membangunkan portal maklumat proses dan stesen kuarantin dalam masa terdekat, bagi proses pendaftaran tersebut," katanya. Ismail Sabri berkata, penambahbaikan itu bagi mengelak kelewatan semasa proses kemasukan individu yang pulang ke tanah air untuk ke bilik kuarantin di hotel, apabila terdapat beberapa kumpulan dari luar negara tiba pada masa yang sama. Bagi individu yang mahu menaik taraf bilik hotel, Ismail Sabri berkata, mereka boleh berbuat demikian dengan syarat kos ditanggung sepenuhnya oleh individu berkenaan. - BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!