suria

Lelaki rakyat Malaysia berusia 31 tahun maut ditembak suspek tak dikenali di Tak Bai

Mangsa yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan dipercayai ditembak oleh suspek yang tidak dikenali dan maut di tempat kejadian. Gambar hiasan

SEORANG rakyat Malaysia ditemukan mati dengan kesan tembakan di bahagian kepala di Tak Bai, Narathiwat, selatan Thailand, malam Selasa.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Ridzuan Ab Llah, 31, dan berasal dari Kampung Kalor, Pasir Mas, Kelantan.

Ketua Polis Tak Bai, Kol. Pol Suthawet Thareethai berkata mangsa ditemukan mati di Kampung Tasik di Tak Bai pada jam 8.40 malam (waktu tempatan).

ARTIKEL BERKAITAN: Hati-Hati Ke Selatan Thai - Polis

"Mangsa dipercayai terkena tembakan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan awal mendapati lelaki tersebut tiada rekod masuk ke Thailand," katanya.

Beliau berkata polis sedang menyiasat motif kes itu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tak Bai untuk bedah siasat.

Menurutnya, keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Sementara itu dalam perkembangan kes yang sama, Polis Kelantan mengesahkan kejadian berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata mangsa dipercayai ditembak oleh suspek yang tidak dikenali dan maut di tempat kejadian.

Menurutnya, punca kejadian dan bagaimana mangsa berada di negara itu masih dalam siasatan. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain