KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) kesal dengan penyebaran sebuah video yang dirakam oleh seorang guru sekolah rendah, yang memaparkan seorang murid mendedahkan bapanya pandai memasak air ketum. Presidennya, Amiruddin Awang berkata, penyebaran video tersebut tidak sewajarnya berlaku. Amiruddin menambah, beliau telah melihat rakaman video yang tular di media sosial namun tidak mengetahui bagaimana punca sebenar video berkenaan boleh tular.ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula gamat sekelas, video anak dedah ‘bapa pandai masak air ketum’ kini kecoh... guru beri penjelasan - “Tak pernah upload aktiviti murid” Menurutnya perkara itu tidak berlaku jika semua pihak sedar akan tanggungjawab dan peranan mereka. "Saya yakin guru yang bertanyakan kepada murid berkenaan tidak ada niat tersembunyi semasa merakamkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. "Semua guru sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak murid dan pihak NUTP juga yakin bahawa jawapan murid tersebut semasa ditanya di luar jangkaan guru itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Menurut Amiruddin, pihaknya meminta semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada Kementerian Pendidikan Malaysia menjalankan siasatan. NUTP juga menggesa guru lebih berhati-hati dalam kecanggihan teknologi supaya mengendali dan menguruskan media sosial supaya tidak melakukan perkara di luar batasan sehingga menjejaskan nama institusi perguruan. Terdahulu, menerusi video tular berdurasi 14 saat itu menunjukkan seorang guru bertanya kepada pelajarnya sama ada bapa mereka pandai memasak, yang kemudian dijawab oleh seorang murid dengan mengatakan bapanya pandai memasak air ketum. Jawapan tersebut mengundang gelak ketawa rakan sekelasnya yang lain. - SINAR HARIAN Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!