BUKIT Aman telah merakam keterangan pesuruhjaya sumpah berkaitan akuan berkanun (SD) yang mendakwa seorang ahli politik pembangkang melakukan perbuatan liwat, kata Tan Sri Abdul Hamid Bador. Menurut Ketua Polis Negara itu, kes berkenaan turut disifatkan sebagai pembaziran sumber-sumber polis. "Perkara ini pembaziran sumber polis dan saya muak dengan perkara-perkara seperti itu. "Bagaimanapun, laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan telah dibuka," ujarnya. Tambahnya lagi, CID Bukit Aman juga sudah mengambil keterangan pesuruhjaya sumpah mengenai perkara itu. "Kami juga sedang merakam pernyataan orang yang membuat SD itu," katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Selasa. Siasatan kini sedang dijalankan, tambahnya lagi. Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah CID Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan bahawa laporan polis telah dibuat mengenai perkara itu. "Kami mengesahkan bahawa laporan telah dibuat dan kami sedang menyiasat perkara itu dari semua sudut. "Kami berharap orang ramai tidak membuat spekulasi ketika ia sedang disiasat," katanya ketika dihubungi pada hari Selasa. Difahamkan, individu yang membuat SD membuat laporan setelah dokumen itu disiarkan di sebuah blog baru-baru ini. Menurut Malaysia Kini, SD itu mengandungi keterangan yang mana lelaki itu mendakwa dia melakukan hubungan seks dengan ahli politik itu sebanyak empat kali pada tahun 2013 di hotel berlainan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang. Dalam SD bertarikh 29 Jun 2020, dia juga mendakwa menerima RM300 setiap kali melakukan perbuatan tersebut. Dakwanya lagi, atas permintaan ahli politik itu, dia turut memperkenalkan seorang lagi rakannya yang kononnya turut diliwat dan dibayar jumlah yang sama. - The Star. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!