KECOH seorang menteri didakwa tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara. Dilaporkan, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali telah menjalani pemeriksaan dan ujian khas koronavirus (Covid-19) sebaik tiba di tanah air dari luar negara pada 7 Julai lalu. Memetik laporan Sinar Harian, sumber terdekat menteri terbabit berkata, pemeriksaan itu dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan mengambil masa kira-kira lima jam dan keputusan ujian tersebut adalah negatif. "Pemergian beliau ke luar negara mendapat keizinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malah Turki ketika itu adalah sebuah negara dikategorikan sebagai negara (zon) hijau," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa. Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mempertikaikan tindakan Dr Khairuddin kerana tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara Julai lalu. Teresa mendakwa Khairuddin ke Turki pada 3 Julai lalu dan pulang ke tanah air pada 7 Julai sebelum ke Parlimen pada 13 Julai. Teresa menganggap Khairuddin telah melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Sementara itu, beliau juga memaklumkan Dr Khairuddin akan memberi kenyataannya dalam masa terdekat. Terdahulu ketika membahas Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020) menjadi sedikit kecoh apabila Teresa Kok (PH-Seputeh) yang mencelah perbahasan Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) mendakwa ada seorang menteri ke luar negara dan tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang. Menurutnya, menteri berkenaan mengadakan lawatan tidak rasmi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai tetapi menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu. - Sinar Harian Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!