ISU menteri tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara terus hangat diperkatakan. Bagaimanapun, tiada mana-mana individu termasuk menteri yang akan terlepas daripada dikenakan hukuman melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin (Covid-19). Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan akan menjalankan siasatan secara telus dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang melanggar SOP. ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh menteri didakwa tak kuarantin selepas pulang dari Turki, ujian Covid-19 negatif ARTIKEL BERKAITAN: Ingkar PKP: Timbalan Menteri Kesihatan, Exco Perak mengaku salah, didenda RM1,000 Menurutnya, tindakan melanggar SOP merupakan sesuatu yang serius malah beliau juga pernah dikenakan tindakan disebabkan perkara tersebut. "Siapa-siapa yang langgar SOP dia akan diadili, tindakan akan diambil. Saya pun kena bayar RM1,000. Saya rasa kerajaan kena telus buat siasatan, ambil tindakan yang perlu. Sesiapa pun tidak akan terlepas. "Dalam isu ini tidak ada dua darjat tidak ada orang atas terlepas, orang bawah terkena tidak ada orang di atas tak kena tangkap orang bawah kena gari tak boleh macam itu," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Klinik Kesihatan Besout, di Tanjung Malim, Jumaat. Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang didakwa tidak menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang daripada luar negara. Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebelum ini mendedahkan di Parlimen bahawa Khairuddin pada Julai lalu berkunjung ke Turki dan kini telah melakukan pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, dalam usaha menyekat penularan Covid-19, semua pihak perlu akur dengan SOP ditetapkan. "Kita perlu ingat mengingati antara satu sama lain supaya kita dapat menyekat penularan Covid-19 ini. "Jangan main-main ada kes pergi luar negara, apabila balik, diuji negatif Covid-19 kemudian apabila diuji semula, jadi positif dan kemudian dia mati sebab terlambat untuk dapatkan rawatan," katanya. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini tiada keperluan untuk membuat ujian saringan terhadap seluruh penduduk di Kedah. Katanya, langkah Kementerian Kesihatan melakukan ujian saringan secara bersasar memadai seperti yang telah dibuat sebelum ini. Dr Noor Azmi sebelum ini didenda RM1,000 selepas mengaku salah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan satu jamuan satu jamuan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, Perak, April lalu. - Sinar Harian Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!