SUSULAN kenyataan memaklumkan diri disahkan negatif Covid-19, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tampil membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia. Permohonan maaf yang dibuat pada Sabtu itu berikutan kegagalan mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Beliau juga akan memulangkan gaji sebagai menteri bagi Mei hingga Ogos, sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19). ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya! Khairuddin kena kompaun RM1,000 tak patuh SOP ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh menteri didakwa tak kuarantin selepas pulang dari Turki, ujian Covid-19 negatif Dalam satu kenyataan, Mohd Khairuddin berkata adalah tanggungjawabnya sebagai menteri untuk akur kepada peraturan dan SOP, sepanjang tempoh PKPP. "Sebagai menzahirkan rasa bertanggungjawab itu, saya dengan ini akan memulangkan semua gaji saya sebagai Menteri, untuk Mei hingga Ogos 2020 sebagai sumbangan kepada Tabung Covid-19 di bawah Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya. Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa gaji bulan Mac dan April, juga telah disumbangkan sebelum ini ke tabung berkenaan seperti keputusan Kabinet sebelum ini. "Saya akan terus bekerja keras dan melipatgandakan lagi segala usaha dan tenaga saya, untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai Menteri, bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi, khususnya lebih sejuta pekebun kecil B40, sentiasa mendapat manfaat dan terbela kebajikan mereka," tambahnya. KKM dalam kenyataan pada Sabtu berkata, kementerian itu telah mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lepas, atas kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342). Mohd Khairuddin telah menjelaskan kompaun itu. Mohd Khairuddin dilaporkan telah pulang dari Turki pada 7 Julai dan sampel nasopharyngeal swab kali pertama telah diambil pada hari yang sama dan didapati negatif. Ujian saringan Covid-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif. Sebelum ini Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendakwa, Mohd Khairuddin tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang daripada kunjungan ke Turki. Ekoran itu, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, dikritik banyak pihak kerana menteri sendiri tidak mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa, khasnya mengingkari arahan kuarantin bagi mana-mana warganegara Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara. - Bernama Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!