suria

Dulu malu, kini nelayan bangga nama unik bawa tuah - “Sebut Merdeka tiga kali, pemilik kedai kopi minta saya order apa saja!”

Mohd Merdeka Ismail yang dilahirkan pada 31 Ogos 1957 menunjukkan kad pengenalan miliknya. Foto: Bernama

KALAU dulu malu, namun kini seorang nelayan berbangga dengan nama unik miliknya.

Mohd Merdeka Ismail yang dilahirkan pada 31 Ogos 1957 berkata, dia sering diejek kawan-kawan sekolah sewaktu kecil.

Namun siapa sangka, nama unik itu menghadiahkan tuah buatnya apabila sebuah kedai kopi di Kampung Simpang Tiga, Penaga, Pulau Pinang memberikan keistimewaan khas kepada beliau.

Beliau berkata minggu lalu, pemilik kedai kopi itu memberitahu bahawa beliau boleh makan dan minum secara percuma dikedainya pada bulan ini, dengan hanya menyebut namanya sebanyak tiga kali.

"Mula-mula saya ingat pemilik kedai kopi itu hanya bergurau... tetapi selepas saya menyebut Merdeka! Merdeka! Merdeka! pemilik kedai itu pun minta saya order apa sahaja, beliau akan belanja," katanya kepada Bernama di rumahnya baru-baru ini.

Mohd Merdeka berkata itu bukan satu-satunya perkara istimewa yang pernah berlaku pada dirinya.

Disebabkan namanya itu, beliau berpeluang menjejakkan kaki ke Istana Negara, Kuala Lumpur apabila dijemput Yang di-Pertuan Agong ke-13 Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 2007 melalui Himpunan Anak-Anak Merdeka di seluruh negara.

Mengimbas kembali mengenai asal usul namanya, Mohd Merdeka berkata namanya yang diberikan oleh bidan kampung yang menyambut kelahirannya pada 7 pagi di Tasek Gelugor.

"Ramai yang tidak tahu nama itu telah menjadikan saya seperti seorang yang terkenal umpama selebriti dalam kalangan penduduk kampung sini dan juga pernah beberapa kali dijemput untuk hadir ke majlis sambutan ambang kemerdekaan," katanya.

Beliau berkata anaknya, Izzatul Nabila, 24, pada mula juga berasa malu dengan nama ayahnya, yang dianggap pelik oleh kawan-kawan sekolah dan sering dijadikan topik gurauan.

Namun setelah sekian lama, Mohd Merdeka berkata, anaknya kini lebih berasa bangga dengan nama itu daripada malu, kerana ayahnya memiliki nama yang serupa dengan hari kemerdekaan negara.

Tambah beliau, nama tersebut juga membuatkan semangat cintakan negara menjadi lebih utuh dan berharap keharmonian yang dicapai dapat dirasai sampai bila-bila.

"Nama ini telah mengingatkan saya dan semua rakyat bahawa negara telah bebas dari jajahan dan kita harus mengekalkan keharmonian negara dan semangat cintakan negara," katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain