suria

WHO jangka Covid-19 berlarutan dalam tempoh tak kurang 2 tahun, KKM saran MKN lanjut PKPP - Dr Adham

WHO menjangkakan wabak Covid-19 akan berlarutan dalam tempoh tidak kurang dari dua tahun.

SUSULAN jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengatakan wabak Covid-19 akan berlarutan dalam tempoh tidak kurang dari dua tahun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi saranan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tempoh dua tahun merupakan tempoh yang lama, dan kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 termasuk melancarkan kempen pembudayaan normal baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Banyak kelonggaran... PM umum PKPP, rentas negeri dibenarkan mulai 10 Jun

PKPP dijadualkan berakhir pada 31 Ogos ini.

"Untuk PKPP yang akan berakhir pada 31 Ogos, pihak KKM telah membuat saranan kepada pihak MKN dan juga Perdana Menteri, supaya ia dipertimbangkan untuk kita laksanakan sehingga keadaan lebih terkawal. Jadi terpulang kepada Perdana Menteri, untuk umumkannya dalam masa terdekat.

"Kita lihat di negara yang tertentu masih bergelut dengan kes meningkat manakala di negara kita, kita masih memperkukuhkan dan mengawal pintu masuk dan sempadan dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas merasmikan program Perkeso di Dewan raya Felda Bukit Besar, Kulai pada Ahad.

Turut hadir Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Perkeso Johor Tong Sing Chuan.

Dr Adham berkata, KKM akan terus melaksanakan kaedah Pengesanan Secara Aktif menerusi Aplikasi MySejahtera, dan buku rekod pelanggan, bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kluster Covid-19.

Dalam perkembangan berasingan ketika mengulas mengenai denda RM1,000 yang dikenakan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, beliau berkata ia bergantung kepada keputusan yang sudah ditetapkan pihak berkuasa.

"Yang itu (denda RM1,000) sudah diselesaikan. Datuk DG (Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dah komen dalam twitter.

"Kita (KKM) tengok pelbagai angle (sudut). Untuk kompaun maksimum RM1,000 (di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), kalau ada (pihak berkuasa) nak dakwa lain itu terpulang," katanya.

Terdahulu, KKM dalam kenyataannya berkata, Mohd Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta342).

Ia memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, WHO, MKN

Artikel Lain