suria

Nasib kedai tomyam... enggan perjudikan keselamatan rakyat, tukang masak Thailand masih tak dapat masuk Malaysia - “Bahayanya sangat besar”

Kedai makanan Thailand berhadapan kesukaran apabila tukang masak mereka gagal kembali ke negara ini akibat penutupan pintu sempadan. (Gambar Hiasan)

PENUTUPAN pintu sempadan negara demi mengekang penularan Covid-19 turut memberi kesan terhadap restoran yang menggunakan tukang masak dari Thailand.

Mengulas hal itu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui peka dengan keluhan pengusaha terlibat sebagaimana kes melibatkan pembantu rumah dari Indonesia atau Filipina.

"Saya sedar dan mendengar keluhan peniaga-peniaga restoran masakan Thailand kerana ramai pekerja mereka balik ke negara asal dan tidak dibenarkan masuk (Malaysia).

"Ramai juga seperti itu, pembantu rumah misalnya. balik ke Indonesia atau Filipina dan tersekat di sana tak dibenarkan masuk.

"Ini juga menimbulkan masalah. Ramai ibu-ibu terpaksa ambil cuti yang panjang kerana tak ada pembantu rumah," ujarnya menerusi sidang media pada Khamis.

Namun katanya, dia enggan memperjudikan keselamatan rakyat negara ini dengan membenarkan kemasukan mereka memandangkan masih berlaku penularan Covid-19 pada waktu ini.

"Jadi kita buat keputusan bahawa sempadan negara tetap perketatkan, tak akan longgarkan lagi.

"Kita masih lagi tak beri kebenaran walaupun kita faham kesusahan dihadapi, tapi bahayanya sangat besar. Akhirnya yang susah rakyat kita," ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail sekali lagi memberi peringatan kepada semua premis perniagaan seperti kedai serbaneka agar menamatkan operasi pada pukul 12 malam.

"Jika ada kedai, restoran yang beroperasi lebih pukul 12, mereka akan dikenakan tindakan.

"Hanya klinik dan hospital sahaja yang dibenarkan beroperasi 24 jam," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain