suria

Rakyat Malaysia terkandas di KLIA, tiada lokasi kuarantin... pihak berkuasa keliru peraturan baharu

Rakyat Malaysia terkandas di KLIA susulan ketiadaan lokasi kuarantin. Foto: The Star/Mohd Sahar Misni

KIRA-KIRA 50 rakyat Malaysia yang tiba dari United Kingdom (UK) terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan kekeliruan dalam kalangan pihak berkuasa berhubung dakwaan tiada bilik hotel untuk tujuan kuarantin.

Penumpang yang tiba pada kira-kira 6.30 pagi pada Isnin berkata, sebaik mendarat mereka telah ditahan daripada melintasi kaunter imigresen walaupun mempunyai surat kebenaran Pesuruhanjaya Malaysia di UK.

Penumpang terlibat, Jolene Yap berkata, berlaku kekeliruan di pihak syarikat penerbangan dan pihak berkuasa imigresen sama ada rakyat Malaysia dibenarkan masuk ke negara kita atau sebaliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia laksana sekatan bermula 7 September untuk rakyat dari negara catat kes Covid-19 tertinggi, Amerika dan UK turut tersenarai

"Pada mulanya kami dihalang mendarat kerana kakitangan syarikat penerbangan tidak pasti sama ada rakyat Malaysia dibenarkan masuk atau tidak mengikut peraturan baharu.

"Selepas hampir enam jam menunggu, pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan mereka tidak dapat menemui bilik hotel untuk tujuan kuarantin semua rakyat Malaysia terbabit.

"Mereka kemudiannya memaklumkan kami perlu cuma menempah bilik hotel sendiri dan memberikan maklumat hotel yang boleh dihubungi.

"Bagaimanapun, apabila hotel berkenaan dihubungi kami dimaklumkan hanya Nadma yang boleh menempah bilik untuk tujuan kuarantin bukannya kami.

"Kami sudah penat terutama selepas menempuh tempoh penerbangan yang panjang," katanya dengan nada marah.

Katanya lagi, ada beberapa kumpula lain yang berhadapan situasi sama di KLIA.

Setakat ini, Ketua Operasi Nadma, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kira-kira 200 individu telah ditempatkan di beberapa stesen kuarantin serta bilik hotel.

"Kami berdepan masalah kerana bilangan hotel yang boleh digunakan untuk kuarantin kurang berbanding jumlah yang masuk ke negara ini.

"Biasanya 500 orang tiba setiap hari tetapi semalam ketibaan melebihi 1,000 orang. Selain itu, pada sebelah pagi pula hotel perlu menunggu pelanggan mereka check out sebelum membenarkan penumpang yang baru tiba dan membuat tempahan masuk," katanya.

Mulai Isnin, kerajaan melarang kemasukan rakyat dari 23 negara memasuki Malaysia termasuk Amerika Syarikat, Brazil, India, Rusia, Peru, Colombia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina, Chile, Iran, Bangladesh dan UK.

Negara lain yang turut tersenarai adalah Arab Saudi, Pakistan, Perancis, Turki, Itali, Jerman, Iraq, Filipina dan Indonesia.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain