BELUM reda kisah dua kanak-kanak yang tular kerana memandu kenderaan, kini muncul satu lagi video terbaharu. Namun kali ini membabitkan seorang remaja perempuan pula. Video remaja perempuan berkenaan yang dipercayai bawah umur memandu kereta mulai tular di laman sosial Facebook 'Sayang-sayang DSV'.ARTIKEL BERKAITAN: Ramai bengang... 2 insiden pada hari sama, selepas kereta ada pula bawa treler - “Kau tunggu je lah kena kutip nanti” Video berdurasi 33 saat itu dipercayai dirakam pada 2018 di kawasan berhampiran Meru Hills di Ipoh, Perak. Polis kini sedang mengenal pasti identiti remaja perempuan di dalam video berkenaan. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, video berkenaan memaparkan seorang remaja perempuan sedang memandu sebuah kereta, namun model dan nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti. "Satu laporan polis dibuat Pegawai Trafik Daerah Ipoh berkenaan video tular tersebut dan siasatan lanjut diteruskan untuk mengenal pasti identiti pelaku dan butiran kenderaan di dalam video berkenaan. "Dalam video sama juga, terdapat suara seorang wanita sedang berbual dengan remaja tersebut," katanya dalam satu kenyataan. Menurutnya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan individu di bawah umur memandu kenderaan motor. Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 26(1) akta sama kerana memandu kenderaan motor tanpa lesen. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!