suria

Mohon rakyat jaga diri, Musa Aman sah tak bertanding dalam PRN Sabah

Musa selaku tokoh politik UMNO negeri itu, tidak mengemukakan borang pencalonan pada hari penamaan calon bagi PRN Sabah, pada Sabtu. fotoBERNAMA.

TEKA-teki mengenai penglibatan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akhirnya terjawab.

Malah, Musa meminta rakyat negeri itu supaya terus menjaga diri dalam keadaan selamat selepas hilang dari radar politik Sabah susulan tindakan tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sabah: Bertanding atau tidak? Kelibat Musa tak kelihatan hingga tempoh penamaan calon berakhir, cetus tanda tanya

Penyandang kerusi itu sejak 1994, Musa, selaku tokoh politik Umno negeri itu, tidak mengemukakan borang pencalonan pada hari penamaan calon bagi PRN Sabah, pada Sabtu.

Pencetus kepada pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai lalu, Musa tidak kelihatan di mana-mana pusat penamaan calon yang dibuka sejam mulai jam 9 pagi.

“Jaga diri semua, semoga sentiasa dalam keadaan selamat, ” kata Musa yang tidak menyerahkan borang pencalonannya sejurus pusat penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila ditutup, dalam ciapannya pada Sabtu.

Untuk rekod, Musa dalam ciapannya pada 9 September telah menulis: ”Saya akan kembali ke Sungai Manila” namun tiada kelibatnya pada kerusi baharu dalam Parlimen Libaran tersebut.

Seorang pegawainya, yang tidak mahu dikenali, memaklumkan kepada Bernama bahawa bekas ketua menteri berusia 69 tahun itu tidak bercadang untuk membuat sebarang sidang media setakat berita ini ditulis.

PRN ke-16 ini diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, 30 Julai lalu, sehari selepas Musa mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.- BERNAMA



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain