suria

PRN Sabah: Bertanding atau tidak? Kelibat Musa tak kelihatan hingga tempoh penamaan calon berakhir, cetus tanda tanya

Kelibat Musa tidak kelihatan sehingga tempoh penamaan calon berakhir. Foto: The Star

KETIKA ramai yang teruja menantikan kehadiran Tan Sri Musa Aman di Dewan Serbaguna Libaran, Sandakan, kelibat bekas Ketua Menteri Sabah itu bagaimanapun langsung tidak kelihatan sehingga tempoh penamaan calon berakhir sebentar tadi.

Banyak pihak termasuk para pengamal media yang bersiap sedia berada di pusat penamaan calon itu, namun dibelenggu tanda tanya lantaran Musa tidak muncul sehingga Pegawai Pilihan Raya Irman Tajuddin Edy mengumumkan bahawa tempoh penamaan calon telah berakhir pada 10 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Musa dakwa peroleh majoriti mudah ambil alih Sabah daripada Shafie

Sementara itu panggilan telefon serta mesej oleh pihak yang rapat dengannya tidak dijawab, keberadaan beliau juga tidak diketahui malah persoalan sama ada Musa akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah masih misteri.

Tinjauan Bernama ke kediaman beliau di sini, yang terletak bersebelahan Dewan Serbaguna Libaran, mendapati ia kelihatan kosong dari luar pagar manakala pintu depan berkunci.

Pada 9 September, Musa membuat hantaran di akaun Twitter beliau berbunyi: "Saya akan kembali ke Sungai Manila" yang merupakan kerusi baharu dalam Parlimen Libaran.

Pada Sabtu (hari ini), Musa memuat naik satu artikel di Instagramnya yang menyebut bahawa pemimpin Umno Sungai Manila mahu beliau menjadi calon bagi kawasan itu.

Beliau adalah penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga.

Pilihan Raya Negeri (PRN) itu diadakan selepas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN Sabah atas permintaan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai.

Ia susulan pengumuman Musa yang mendakwa beliau memiliki sokongan 33 Ahli DUN untuk menyingkirkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan membentuk kerajaan baharu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-16. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain