suria

Kes Khairuddin: Polis tunggu 'lampu hijau', pendakwaan hanya dibuat selepas dapat kebenaran Jabatan Peguam Negara

Polis sebelum ini merakam keterangan Khairuddin susulan kegagalannya mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

SEBARANG tindakan lanjut berhubung siasatan kes membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar arahan kuarantin wajib Covid-19, akan dilakukan selepas mendapat arahan dari Jabatan Peguam Negara.

Menurut Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, polis sehingga kini masih menunggu 'lampu hijau', sambil menambah, proses pendakwaan hanya akan dibuat selepas mendapat kebenaran pihak Jabatan Peguam Negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Khairuddin mohon maaf tak patuh SOP, pulangkan 4 bulan gaji

ARTIKEL BERKAITAN: Langgar SOP kuarantin: Khairuddin hadir beri keterangan di Bukit Aman malam ini

"Kertas siasatan berkenaan kes ini sudah pun diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Kita masih tunggu arahan susulan daripada pihak terbabit," katanya pada Rabu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 9 September lalu memberitahu kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara selain telah merakam keterangan lebih 10 saksi bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan polis telah merakam keterangan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu bagi membantu siasatan berhubung kegagalannya mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Kementerian Kesihatan dilaporkan menyerahkan kertas siasatan dalaman pihaknya berhubung isu pelanggaran kuarantin oleh Mohd Khairuddin kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Khairuddin turut dikompaun oleh kementerian berkenaan sebanyak RM1,000 atas kesalahan itu. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain