SETIAP kali menggunakan lif, pasti ada dalam kalangan kita yang risau sekiranya terjadi kejadian buruk yang tidak disangka-sangka. Terbaharu, malang menimpa lima individu di sebuah flat di Taman Batu Permai, Jinjang, Kuala Lumpur yang berdepan detik cemas apabila terperangkap selepas lif yang dinaiki mengalami kerosakan pada Jumaat petang. Dalam kejadian pada 2 petang itu, terdapat tiga lelaki dewasa dan dua kanak-kanak menaiki lif berkenaan dari tingkat lima apabila tiba-tiba ia menggelungsur secara perlahan. Ketua Polis Daerah Sentul, ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata pengadu dimaklumkan oleh orang awam bahawa terdapat tiga mangsa lelaki dan dua kanak-kanak terperangkap dalam lif itu. "Namun dengan bantuan penduduk, lif terlibat dapat dibuka dan kesemua mangsa dibawa keluar dengan selamat. Bagaimanapun tiga mangsa telah mengalami bengkak kaki dan terseliuh serta dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan manakala dua kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, ” katanya kepada Bernama. Shanmugamoorthy berkata pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan turut tampil untuk siasatan sebelum syarikat penyelenggaraan lif terbabit mencari punca kejadian dan membaikinya. "Kejadian seumpama seperti ini adalah pertama kali berlaku dan sebelum ini lif berkenaan diselenggara dengan baik serta mengikut jadual," katanya.- BERNAMA. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!