suria

Menteri Pengajian Tinggi mohon maaf atas kesulitan pendaftaran pelajar IPT

(gambar fail) Noraini memberi penjelasan berhubung isu pendaftaran pelajar IPT. Foto Bernama

MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad membuat permohonan maaf terhadap kesulitan yang dihadapi para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

"Saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak Covid-19 ini," kata beliau.

Noraini berkata, kementerian telah berbincang terlebih dahulu dengan semua pihak pengurusan IPT termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai agensi utama dalam pengurusan hal ehwal penularan pandemik.

"Saya mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal.

"Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini." katanya menerusi posting di halaman Facebook beliau, pada Sabtu.



Pengumuman oleh KPT.

Menurut Noraini, pelajar yang sudah tiba di kampus boleh terus kekal di kampus masing-masinh sementara menunggu arahan seterusnya daripada pihak universiti.

Bagi pelajar yang masih di kediaman atau kampung halaman masing-masing, beliau berkata, mereka diminta untuk menangguhkan dahulu seketika pergerakan untuk pulang ke universiti.

"Saya berharap kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak Covid-19 ini," katanya.

Terdahulu, para pelajar menyuarakan kekecewaan dan rasa tidak puas hati mereka di laman Twitter apabila kementerian mencadangkan IPT mengubah kaedah pendaftaran untuk semester baharu, kepada secara dalam talian.

Menurut kementerian itu, semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran juga harus beralih ke platform dalam talian untuk memastikan keselamatan kakitangan dan pelajar. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain