suria

PRK Batu Sapi: Kekosongan perlu diisi dalam tempoh 60 hari, tapi boleh ditangguh jika kawasan diisytihar darurat - SPR

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober lalu di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu akibat jangkitan paru-paru. Foto: The Star/Mohd Shahar Misni

KETIKA ini ramai yang menyuarakan kebimbangan dan bantahan sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi diadakan susulan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, PRK perlu dijalankan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan hanya boleh ditangguhkan sekiranya kerajaan mengisytiharkan darurat di kawasan tersebut.

Menurutnya, dari segi Perlembagaan apabila ada kekosongan di kawasan terlibat dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga sudah menghantar surat meminta SPR mengisi kekosongan tersebut, maka pihaknya perlu melaksanakan perkara itu seperti yang tertera dalam Perlembagaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Takziah... Ahli Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong meninggal dunia

"Jadi dalam tempoh 60 hari SPR kena ambil tindakan untuk isi kekosongan itu kecuali jika kerajaan isytihar kawasan Batu Sapi ini kawasan merah, keadaan wabak begitu dahsyat dan tidak dapat dikawal serta darurat, barulah PRK ini boleh dipertimbangkan untuk ditangguhkan.

"Jika semua kriteria itu ada, SPR akan akur," katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan pihaknya sudah mengemukakan surat pemberitahuan kepada SPR berhubung kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu.

Katanya, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR Malaysia ada kekosongan.

Sementara itu, mengulas berhubung cadangan agar PRK Batu Sapi ini dibuat secara dalam talian, Abdul Ghani berkata, kaedah itu akan mengambil masa yang panjang kerana ia melibatkan proses perundangan sedia ada.

Menurutnya, ia tidak boleh dijalankan sewenang-wenangnya dan perlu melalui beberapa proses tertentu sebelum dapat dilaksanakan.

"Namun kaedah yang terbaik adalah membuat PRK secara fizikal," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain akan membincangkan tindakan lanjut berhubung PRK Batu Sapi pada mesyuarat Selasa depan, SPR juga akan memberi tumpuan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diperketatkan pada PRK itu nanti agar masalah yang timbul sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak berulang.

Vui Keong yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi meninggal dunia pada 2 Oktober lalu di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu akibat jangkitan paru-paru. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain