suria

Tiada isteri hingga akhir hayat, hanya ada 3 anak angkat... kebaikan dilakukan lelaki ini berjaya ubah kehidupan keluarga Orang Asli

Komuniti Orang Asli akan turut melibatkan diri secara aktif sebagai tanda sokongan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa buli atau salah faham di sekolah buat kali kedua berturut-turut.

LEONA Safarita, seorang kanak-kanak Orang Asli berketurunan Semai, membesar dengan nilai-nilai murni.

Bapanya, Rosli Bah Air, diambil menjadi anak angkat oleh seorang individu bernama Chan Lai Tuck, ketika dia berusia 14 tahun.

Harapan Lai Tuck pada ketika itu adalah untuk memastikan Rosli, mempunyai masa depan yang lebih baik.

"Kami tak dapat bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya ayah tidak dijadikan anak angkat. Kami sangat bertuah dan bersyukur dengan kebaikannya," kata Leona yang kini berusia 21 tahun.

Selain bapanya, Lai Tuck turut mengambil tiga lagi anak angkat lain iaitu Yong Soo Fatt dan Phon Kon Sen yang Leona anggap seperti pakciknya sendiri.

"Kini mereka yang bantu keluarga saya dan membayar yuran pengajian saya," kata Leona.

Bagaimanapun Lai Tuck meninggal dunia empat tahun yang lalu.

"Dia tidak ada isteri atau anak kandung, jadi kami menjaganya sehingga ke akhir hayat. Pada kami inilah satu-satunya cara yang boleh membalas jasanya kerana menjaga kami," kata Leona.

Leona berkongsi kisah hidup keluarganya kepada R.AGE sebagai tanda sokongan kepada Kempen Minggu Baik Hati Kebangsaan #StandTogether yang memasuki tahun ketiga penganjurannya.



Leona yang kini memasuki tahun kedua pengajian Sarjana Muda Bahasa Inggeris pernah menjadi mangsa buli sewaktu kanak-kanak.



Kempen yang dinaungi R.AGE dan pemaju terkemuka SP Setia ini bertujuan untuk menanam budaya baik hati dan empati dalam kalangan masyarakat di Malaysia, bermula di sekolah.

Buat kali kedua berturut-turut, komuniti Orang Asli akan melibatkan diri secara aktif sebagai tanda sokongan kepada anak-anak Orang Asli yang menjadi mangsa buli atau salah faham di sekolah.

Leona yang kini memasuki tahun kedua pengajian Sarjana Muda Bahasa Inggeris berkata, dia turut menjadi mangsa buli ketika zaman kanak-kanak.

"Mereka gelar saya 'sakai', 'babi' dan 'gelap'," katanya sambil mengakui berasa amat keseorangan ketika di sekolah.

"Saya agak perlahan dalam pelajaran jadi bila guru mengajar, sesetengah mereka akan meminggirkan saya dari sebarang aktiviti," katanya.

Menurut Leona lagi, ramai anak Orang Asli termasuk rakan-rakannya yang memilih untuk berhenti belajar kerana tidak tahan dibuli.

Salah seorang daripadanya adalah Adi Hadzil, 20, yang berketurunan Semelai.

"Mereka gelar saya 'sakai' tanpa memahami apa maknanya.

"Mereka perlu berhenti menggunakan perkataan seperti 'sakai' dan 'jakun', panggilan sebegitu sangat sensitif bagi kami komuniti Orang Asli," kata Adi.

Adi sering berkongsi kesedihannya bersama rakan-rakan Orang Asli yang turut mengalami pengalaman yang sama.

"Kami bergantung antara satu sama lain sebab hanya mereka yang melaluinya akan faham perasaan kami," kata Adi, yang berasal dari Perak.

Leona bagaimanapun percaya pengalaman dibuli berpunca daripada kejahilan masyarakat.

"Saya ingat lagi semasa adik saya sedang bermain di taman dengan rakan-rakannya dan seorang ibu kepada rakannya berkata tengok Sakai itu.

"Jadi jelaslah daripada mana kanak-kanak ini belajar untuk berkelakuan sebegitu rupa," katanya.

Tambah Leona, penekanan kepada nilai kebaikan dan empati juga sangat bertepatan kerana nilai-nilai ini sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat memahami perasaan mangsa buli.

"Saya juga berharap agar kempen #StandTogether ini boleh mengubah cara komuniti Orang Asli berfikir dan mendorong mereka untuk tidak mempedulikan pembuli, terus ke sekolah dan lakukan apa yang mereka inginkan," katanya.



Kempen #StandTogether dilancarkan pada tahun 2017 oleh R.AGE dan SP Setia untuk memberi kesedaran mengenai peningkatan kes buli di sekolah dan media sosial.

Kempen ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelajaran, Unicef Malaysia, Study Hub Asia, Childline, UMCares, Digi, Tribelss dan Teach For Malaysia.

Semua murid dan guru boleh menyertainya dengan mendaftar aktiviti yang disediakan antaranya Bengkel Baik Hati #StandTogether.

Siri bengkel secara dalam talian ini memberi peluang kepada para pelajar untuk menyertai aktiviti yang direka khas Tribeless bagi tujuan meningkatkan nilai empati.

Pelajar juga boleh menyertai Program Kepimpinan Baik Hati #StandTogether, iaitu satu program fellowship dalam talian yang menekankan nilai empati dan sokongan rakan sebaya.

Geran sejumlah RM40,000 juga disediakan untuk para pelajar yang berminat untuk menjalankan Projek Baik Hati di sekolah mereka.

Layari www.standtogether.my/kindnessleaders untuk mendaftar.

Untuk maklumat lanjut mengenai Bengkel Baik Hati, hubungi Richie Lee dari Study Hub Asia (0178878814 atau [email protected]).

Pelajar yang menyertai kempen ini akan menerima sijil penyertaan dan markah ko-kurikulum yang diperakui Kementerian Pelajaran.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain