suria

Bertindak agresif serang bomba sedang bertugas, pengurus acara ditahan pihak berkuasa

Suspek yang juga merupakan seorang pengurus acara telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut

PADAH menghalang tugas penjawat awam.

Begitulah kisahnya mengenai satu rakaman tular memaparkan pergelutan anggota bomba dengan seorang lelaki.

Susulan itu, polis menahan seorang suspek yang juga warga tempatan selepas disyaki menyerang seorang anggota bomba di Jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor pada pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata semasa pihak bomba cuba memadamkan kebakaran kereta berpunca daripada kemalangan, suspek yang mengakui kereta itu miliknya cuba untuk masuk ke kawasan kejadian dan mendekati kenderaannya.

"Bomba telah memberi arahan supaya suspek bekerjasama dengan pihak bomba untuk tidak masuk ke kawasan itu, namun secara tiba-tiba suspek bertindak agresif dan meluru ke arah seorang anggota sebelum menumbuk anggota itu di lengan kirinya.

"Oleh itu, suspek yang berumur lingkungan 30 tahun itu kemudiannya ditahan dengan bantuan anggota bomba yang lain serta orang awam yang berada berdekatan di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata suspek yang juga merupakan seorang pengurus acara telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan akan dibawa ke Mahkamah Kajang esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan polis.

Susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.- BERNAMA.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain