BIARPUN rentas daerah dan negeri dibenarkan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ia haruslah mempunyai alasan yang kukuh. Demikian kata Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis khususnya bagi penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. ARTIKEL BERKAITAN: Bukan semua 105 kes positif Covid-19 berpunca dari 1 Utama, saringan 6,000 kakitangan dan penyewa kesan 22 kes setakat ini "Saya nasihatkan hanya mereka yang mempunyai keperluan mendesak sahaja sepatutnya pergi ke balai polis untuk dapatkan borang kebenaran. "Saya difahamkan banyak urusan-urusan peribadi, sosial juga berpusu-pusu ke balai polis untuk dapatkan borang. "Ada yang beri alasan nak melawat saudara mara. Macam-macam. Saya harap dalam masa PKPB dua minggu, kita sebenarnya kena kurangkan pergerakan. "Sebab tujuan PKPB untuk kurangkan pergerakan, dan memutuskan rantaian Covid-19 dalam kalangan masyarakat," ujarnya menerusi sidang media pada Khamis petang. Dalam pada itu, Ismail mengumumkan mereka yang perlu mendapatkan borang kebenaran merentas daerah atau negeri boleh mendapatkannya dengan memuat turun di Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jelasnya, mereka hanya perlu datang ke balai untuk mendapatkan tandatangan selepas selesai mengisi borang yang dimuat turun, sekaligus dapat mengurangkan kesesakan di balai. Walaupun boleh mendapatkan borang berkenaan secara terus di balai atau pondok polis, namun adalah digalakkan memperolehnya secara dalam talian. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!