suria

Addy Kanna dalang Macau Scam, kini ditahan reman 21 hari - Bukit Aman

Huzir Mohamed bercakap pada sidang media di Bukit Aman. -foto Bernama

SINDIKET yang didalangi Addy Kanna terlibat dalam kes penipuan Macau Scam, judi online dan penipuan pelaburan pertukaran mata wang asing Forex.

Demikian dedah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam sidang akhbar di Bukit Aman, Rabu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket pusat panggilan judi online antarabangsa yang melibatkan Addy Kanna ini menjalankan kegiatan mempromosi selain memperdaya mangsa pelaburan Forex.

"Tangkapan Addy (Kanna) dan seorang suspek yang masih bebas (Goh Leong Yeong@Alvin) mendapati mereka berperanan sebagai koordinator atau ejen menyediakan kemudahan sewa premis dan telekomunikasi kepada sindiket penipuan yang menyasarkan rakyat China.

"Kita juga dapati wujud elemen penipuan (scam) membabitkan Addy ini. Susulan itu, siasatan juga akan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Cawangan Khas dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standrad (JIPS)," katanya.

Huzir berkata, dengan penahanan Addy ini, JSJ telah melancarkan 12 serbuan di sekitar Lembah Klang sejak Sabtu lalu membabitkan premis pusat panggilan (calling centre) dan berjaya menahan seramai 138 individu termasuk 95 warga China membabitkan beberapa sindiket.

Dalam pada itu, Huzir turut mendedahkan Addy mempunyai rekod jenayah lampau bersabit Akta Ordinan Darurat 1969 kerana terlibat dalam jenayah samun.

Berkenaan tangkapan tiga lelaki termasuk Addy, Huzir berkata, ketiga-tiga mereka kini ditahan reman 21 hari di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan akan dipohon lanjutan reman selama 38 hari lagi di bawah Seksyen 4(1)(a) POCA 1959.

Mengulas berkenaan usaha PDRM memburu Alvin, beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengesannya.

"Siasatan juga sedang dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung tindakan Alvin yang berjaya melarikan diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tempoh hari," katanya.

Dalam perkembangan sama menurutnya, polis juga telah menyerbu pejabat Alvin di Plaza Low Yat di ibu negara dan tidak menolak kemungkinan Alvin yang bekerja di plaza terbabit menjadi faktor dia mendapat 'tawaran' daripada sindiket di China.

"Kita juga telah menahan seorang lelaki tempatan di sekitar Lembah Klang disyaki berkait dengan Alvin," katanya.

Selain itu, beliau berkata, polis juga akan memanggil beberapa selebriti tempatan sekiranya perlu untuk siasatan lanjut berkaitan kes terbabit dan sedang menyiasat dakwaan sekiranya terdapat penglibatan ahli politik dalam sindiket terbabit.

Tegasnya, PDRM akan memastikan sindiket ini terus ditahan dan akan melakukan siasatan telus, terperinci serta menyeluruh.

"Pada tahun lalu, JSJ telah menyerbu sindiket calling centre dan seramai 2,069 dituduh yang mana 323 dituduh di bawah POCA, manakala pada tahun ini sehingga Oktober, seramai 1,301 berjaya dituduh termasuk 243 suspek dituduh di bawah POCA," katanya.

Katanya, polis kini giat memburu lapan lelaki dipercayai terlibat dalam sindiket perjudian secara dalam talian di Lembah Klang.- SinarHarian.com.my



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain