TIADA sebarang pengisytiharan darurat pada malam ini sebagaimana khabar yang bertiup kencang sejak siang tadi. The Star melaporkan, sumber mengesahkan perkara berkenaan namun tidak menyatakan bila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman. "Malam ini tak ada apa, sah," kata sumber tersebut. Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin dijangka mengumumkan darurat selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang pada petang Jumaat. ARTIKEL BERKAITAN: Spekulasi darurat dijangka diisytihar bertiup kencang, PM menghadap Agong Muhyiddin sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa. Muhyiddin meninggalkan Istana Abdulaziz selepas dua jam mengadakan pertemuan dengan Agong. Sumber, sebelum ini mengatakan bahawa Agong yang mempunyai kata putus tentang bilakah darurat akan dikuat kuasa. Sementara itu, pegawai di Putrajaya menjelaskan bahawa hanya aktiviti politik yang terkesan sekiranya darurat diisytiharkan. "Perniagaan berjalan seperti biasa. Kegiatan ekonomi juga diteruskan dan tidak ada perintah berkurung. "Kesimpulannya, kehidupan berjalan seperti biasa. Ini untuk kebaikan negara dalam memerangi Covid-19," kata sumber itu. - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!