suria

Mesej tular palsu, cadangan bubar Parlimen tidak dibincangkan - Ismail Sabri

Menurut Ismail Sabri, pembubaran Parlimen tidak dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat khas Kabinet.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa mendedahkan intipati mesyuarat Kabinet pagi Isnin bagi menjelaskan berkaitan mesej tular berhubung cadangan pembubaran Parlimen.

"Tadi memang ada mesyuarat Kabinet tapi perkara mengenai pembubaran Parlimen tidak dibincangkan pun.

"Walaupun saya tidak boleh sebut (perbincangan dalam mesyuarat) tapi ia (pembubaran Parlimen) tidak dibangkit dan dibincangkan," kata Menteri Kanan (Keselamatan) itu pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, Isnin petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen BN bincang kedudukan Muhyiddin - Hishammuddin

Mesyuarat khas Kabinet hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Putrajaya.

Ismail Sabri diminta mengulas mengenai tangkap layar yang tular di aplikasi Whatsapp yang memaparkan beliau memaklumkan mengenai isu pembubaran Parlimen dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Kabinet hari ini.

Kata Ismail Sabri lagi, khabar angin termasuk mesej yang tular di media sosial berhubung perkara itu adalah palsu dan ia bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Beliau juga mengetengahkan mengenai berita palsu yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangangan ini termasuk berkaitan sidang media hariannya yang diedit, sekali gus memberi maklumat tidak tepat.

“Banyak perkara berlaku setiap hari, pelbagai cerita tak benar disebar, pernah suatu ketika ucapan saya diedit melibatkan kebenaran konon rakyat Singapura dibenar masuk Malaysia, sedangkan rakyat yang dengar ucapan saya yang asal tahu maksud sebenar, tapi yang mana tak dengar akan percaya dengan video yang diedit itu, ” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri meminta semua pihak supaya tidak dengan mudah mempercayai sesuatu perkara itu, sebaliknya menapis perkara yang tular di media sosial.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain