POLIS Melaka memanggil dua VIP untuk membantu siasatan kerana didakwa tidak memakai pelitup muka di khalayak ramai. Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No:8) 2020. "Siasatan itu bermula setelah laporan polis yang dibuat oleh ADUN Kota Laksamana Low Chee Leong pada hari Isnin," ujarnya pada Selasa. Terdahulu, Low membuat laporan terhadap pengerusi Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Datuk Norhizam Hassan Baktee kerana tidak memakai pelitup muka ketika berjumpa dengan peniaga di pasar loak di Jeti Fatimah di Jalan Lekiu pada Ahad. Dakwa Low, Norhizam yang turut diberi gelaran YB Hulk melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana gagal memakai pelitup muka di tempat awam. Malah, dia juga membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin dengan gelaran "Datuk" dari Bandar Hilir, juga kerana didakwa tidak memakai pelitup muka di tempat awam pada hari Sabtu. Low dan Norhizam berada dalam pemerintahan negeri pimpinan Pakatan Harapan yang sama sebelum Norhizam menyertai Perikatan Nasional ketika pentadbiran berubah pada bulan Mac berikutan pergolakan politik. - The Star. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!