suria

Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu ditahan polis kes hasut, hina Agong di Facebook

Ronnie Liu ditahan polis berhubung kenyataannya di media sosial yang didakwa berunsur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong. Foto: The Star

ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu telah ditahan polis berhubung kenyataannya di media sosial yang didakwa berunsur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata, Liu ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, pagi Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hina Agong: Seorang lagi ditahan polis

"Penahanan itu adalah untuk membolehkan kami menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kami akan merakam kenyataannya dan membebaskannya setelah semuanya selesai. Ia bergantung kepada kenyataan yang diberikan," katanya.

Liu terdahulu tiba di IPD Petaling Jaya sekitar pukul 10.40 pagi.

Wakil rakyat itu adalah antara empat individu yang disiasat atas dakwaan menghina Agong,

Dipercayai penahanan tersebut adalah berkaitan dengan satu posting Liu pada 21 Oktober yang antaranya bertulis 'Now in Bangkok, they are saying no to the King (Sekarang di Bangkok, mereka mengatakan tidak kepada Raja). - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia