suria

Nazir Razak kongsi pengalaman hidap kanser prostat, mahu tingkatkan kesedaran kaum lelaki di Malaysia

Sebagai bekas pesakit kanser prostat, Nazir mamhu memainkan peranan memimpin kempen #onlymencan dengan menceritakan kisahnya untuk membantu orang lain.

SELEPAS sembuh daripada kanser prostat, Datuk Seri Nazir Razak secara terbuka berkongsi pengalamannya dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran mengenai topik itu.

Malah, perkongsian itu juga seiring dengan kempen #onlymencan yang dijalankan di seluruh negara dalam usaha melawan penyakit itu.

ARTIKEL BERKAITAN: UM lancar kempen cegah kanser prostat bermula bulan depan, mahu kurangkan jumlah pesakit lewat dikesan menjelang 2025

Nazir adalah pemegang amanah Tabung Amanah Kanser Urologi Universiti Malaya (UM) yang diketuai oleh Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, menerajui kempen Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki yang pada setiap November bermula tahun ini sehingga 2024.

"Saya berfikir panjang dan sukar untuk membincangkan pengalaman saya secara terbuka. Saya akhirnya memutuskan bahawa saya mesti melakukannya.

"Saya rasa ia akan mendorong orang lain untuk melakukan perkara yang sama dan mudah-mudahan menjadikan topik ini bukan sesuatu yang tabu,” katanya.

Mengimbas saat awal dia mendapat tahu tentang penyakit itu, ia bermula daripada pemeriksaan perubatan pada Oktober 2018, ketika ingin membeli produk insurans yang disyorkan oleh pegawai banknya.

"Ujian darah menunjukkan bahawa antigen spesifik prostat saya (PSA) tinggi, jadi doktor curiga dan menghantar saya untuk Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang menunjukkan gambar beberapa tumor," katanya.

Ujian pengesahan terakhir merupakan biopsi ringan tetapi invasif yang mengesahkan adanya kanser dan menunjukkan bahawa ia tidak merebak di luar prostat.

Namun, biopsi juga mendedahkan bahawa skor Gleason peringkat kanser prostat menunjukkan ia agresif dan cenderung merebak dengan cepat.

"Diberitahu bahawa saya mungkin menghidap kanser berdasarkan PSA dan MRI adalah kejutan besar. Terutama ketika saya berasa sangat sihat. Tetapi saya segera membaca dan mendapati bahawa peluang saya untuk terus hidup tinggi, asalkan tidak terus merebak," katanya sambil menambah bahawa dia tidak mempunyai gejala.

Walaupun gejala umum kanser prostat banyak berkaitan dengan kencing, seperti kesukaran dan kekerapan buang air kecil, ada pesakit yang tidak mengalami simptom sebagaimana kes melibatkan Nazir.

Dia menjalani 'robotic prostatectomy' pada Februari tahun lalu untuk membuang prostat, dengan pemulihan sepenuhnya memakan masa sekitar empat hingga lima bulan.

Sebagai bekas pesakit kanser prostat, Nazir mahu memainkan peranan memimpin kempen #onlymencan dengan menceritakan kisahnya untuk membantu orang lain, selain membantu dalam kutipan dana.

"Orang malu bercakap mengenainya. Terdapat juga kekangan budaya, terutama dalam kalangan orang Melayu, untuk bercakap secara terbuka mengenai apa sahaja yang berkaitan dengan fungsi seksual; malah orang yang mengalami gejala cuba mengelak daripada berjumpa doktor,” katanya.

Ini juga mungkin antara punca mengapa Malaysia mempunyai pengesanan kanser prostat tahap akhir melebihi 60 peratus, berbanding dengan Amerika Syarikat sekitar 20 peratus dan Singapura (25 peratus).

"Ramai lelaki akan mendapat kanser prostat. Di AS, satu daripada sembilan lelaki mengalaminya sepanjang hayat mereka. Tetapi ia adalah kanser yang paling dapat disembuhkan, jika anda mengesannya lebih awal.

"Dalam banyak kes, anda bahkan tidak memerlukan pembedahan invasif; jika ia tidak agresif, ada cara lain untuk membendungnya. Namun, ia haruslah dikesan lebih awal.

"Sekiranya anda berusia lebih 50 tahun, laksanakan ujian PSA tahunan. Sekiranya anda lebih muda, dapatkan pemeriksaan jika anda mempunyai simptom,” katanya.

Sasaran utama kempen ini adalah untuk mengurangkan kes pengesanan kes tahap akhir di Malaysia daripada lebih 60 peratus kepada bawah 30 peratus dalam tempoh lima tahun.

Untuk tahun pertama ini, ia akan memberi tumpuan kepada dua elemen utama iaitu kesedaran masyarakat dan peningkatan pengetahuan pengamal am (GP).

Kedua-dua aspek ini berkait rapat kerana Malaysia kekurangan ahli urologi, dengan seorang ahli setiap 250,000 orang, berbanding seorang untuk 50,000 orang di Singapura.

Oleh itu, katanya peranan GP dalam membimbing pesakit sangat penting.

“Ini baru tahun pertama dalam program lima tahun. Kami akan melakukannya dengan skala besar selama satu bulan; ia akan meningkatkan peluang kita menyampaikan mesej kita. Selebihnya tahun ini, kami akan melakukan lebih banyak program penting seperti latihan GP, ​” katanya.

Perkara yang sama akan dilakukan dalam tempoh lima tahun, setelah itu pencapaian dan keberkesanannya akan dikaji semula, tambahnya. - The Star.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain