POLIS menahan seorang pelajar perempuan tingkatan enam hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Nur Surya Ismail, 19, di Kampung Lubuk Batu, Telemong, petang Ahad. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata suspek yang merupakan rakan sebaya arwah, ditahan di Balai Polis Telemong pada pukul 8.15 pagi ketika tampil bersama ibunya untuk memberi keterangan. Suspek hadir ke balai polis selepas mendapati terdapat imej dirinya dalam video rakaman litar tertutup (CCTV) dari bangunan menternak burung berhampiran rumah arwah yang tular di aplikasi WhatsApp sejak malam tadi. Mohd Adli berkata suspek kemudiannya ditahan selepas memberikan keterangan meragukan, selain mendapati terdapat kesan kecederaan dan gigitan di tangannya dipercayai akibat pergelutan. “Suspek merupakan rakan arwah sehingga tingkatan lima dan dia mengakui telah berkunjung ke rumah itu dengan menaiki motosikal pada pukul 9.00 pagi semalam. Ketika mereka berbual telah berlaku perselisihan faham hingga berlaku pergelutan, ” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu pada Isnin. Mohd Adli berkata dalam pergelutan di ruang tamu itu, suspek dipercayai telah mencapai sebilah pisau pemotong sayur. “Rumah suspek hanya dua kilometer daripada rumah arwah. Setakat ini, senjata yang digunakan masih belum ditemui, namun hasil siasatan, polis percaya hanya pelajar ini sahaja yang terlibat, ” katanya sambil dan menambah, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Marang esok untuk direman. Ketika ditanya mengenai saksi kejadian, Mohd Adli berkata meskipun ibu mangsa berada di lokasi kejadian namun beliau tidak boleh dijadikan saksi kerana tidak dapat bertutur dengan jelas dan gagal memahami soalan polis mengenai kejadian. - BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!