ENAM kakitangan yang bertugas di Parlimen disahkan positif Covid-19 pada Isnin. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah empat melibatkan anggota polis bantuan manakala seorang kontak rapat kepada salah seorang daripada mereka. "Kami sudah melakukan ujian saringan tiga hari sebelum persidangan di Parlimen. Hari ini kita dapat kesan seorang polis bantuan disahkan positif. "Kemudian menerusi pegesanan kontak rapat, tiga rakan setugasnya turut positif dan isteri salah seorang daripada mereka turut dijangkiti," katanya pada sidang media petang Isnin. Katanya lagi, dua kes lagi masing-masing melibatkan seorang individu yang berurusan dengan media dan pegawai khas kepada seorang ahli Dewan Negara. "Kami sudah melakukan ujian saringan terhadap tujuh ahli keluarganya (petugas media). Keputusan masih belum diperolehi. "Pembantu senator juga positif. Kami sudah kenal pasti 12 ahli keluarganya dan mereka sudah dikuarantin," katanya. Terdahulu, Ahli Dewan Negara yang juga bekas personaliti televisyen, Ras Adiba Radzmi mengesahkan salah seorang pegawai khas yang juga adiknya positif Covid-19. Beliau mengesahkan adiknya itu sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, sementara ahli keluarganya yang lain sedang menunggu keputusan ujian saringan. Susulan itu, hari pertama persidangan Dewan Rakyat bagi sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada dipendekkan sehingga jam 1 tengah hari tadi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!