suria

“Saya mohon maaf” - Ras Adiba, keluarga tunggu keputusan saringan selepas adik disahkan positif Covid-19

Ras Adiba (kiri) bersama adiknya, Ras Afiona yang disahkan positif Covid-19.

AHLI Dewan Negara yang juga bekas personaliti televisyen, Ras Adiba Radzi memaklumkan salah seorang pegawai khas yang juga adiknya diuji positif Covid-19.

Menurut Ras Adiba, adiknya, Ras Afiona kini sedang dirawat di hospital sementara dan ahli keluarga yang lain sedang menunggu keputusan saringan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dewan Negara jadi tumpuan... Ras Adiba, Mohd Ali angkat sumpah senator

"Saya ingin memaklumkan bahawa salah seorang pegawai khas saya yang juga adik saya iaitu Ras Afiona Radzi telah disahkan positif Covid-19 setelah melakukan ujian saringan baru-baru ini.

"Kini beliau sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh. Untuk makluman semua, saya dan seramai 10 ahli keluarga sedang menunggu keputusan saringan Covid-19," ujarnya menerusi satu kenyataan.

Ujar Ras Adiba lagi, dia memohon maaf sekiranya perkara itu menyusahkan mana-mana pihak dan berdoa agar semua rakyat Malaysia dilindungi dari wabak berkenaan.

"Saya ingin memohon maaf sekiranya telah menyusahkan mana-mana pihak susulan kejadian yang telah menimpa saya dan keluarga.

"Namun saya reda dengan apa jua dugaan dan cabaran yang mendatang.

"Saya memohon agar Yang Esa melindungi kita semua dari wabak Covid-19," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Ras Adiba, 51, mengangkat sumpah sebagai Senator pada 20 Mei lalu.

Ras Adiba yang merupakan Presiden Orang Kelainan Upaya (OKU) Sentral, memegang jawatan di Dewan Negara itu bagi mewakili golongan OKU.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain