suria

Hari pertama Dewan Rakyat fokus isu Covid-19, penangguhan pilihan raya

Sidang Dewan Rakyat hari ini juga akan menyaksikan bacaan kali pertama untuk Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 dan RUU Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020 akan dibentang.

COVID-19 dan pilihan raya bakal menjadi topik utama dalam persidangan hari pertama Dewan Rakyat bagi sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Isnin.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, hampir majoriti soalan dalam turutan awal pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan adalah berkenaan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Malaysia rekod 957 jangkitan tempatan, 97 pesakit dirawat di ICU

Dalam isu pilihan raya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (UMNO-Padang Terap) mengenai sama ada kerajaan bercadang meminda Perlembagaan atau mewujudkan rang undang-undang khusus bagi membolehkan pilihan raya ditangguhkan dalam tempoh pandemik.

Selain itu, Muhyiddin turut dijadual menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang ingin tahu sejauh mana impak ekonomi Covid-19 terhadap individu, isi rumah dan syarikat perniagaan, selain dasar dan langkah kerajaan dalam memacu ekonomi ke arah berdaya tahan.

Isu Covid-19 terus mendapat perhatian hari pertama dengan soalan daripada Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang mahu kepastian sama ada program atau kursus pembangunan keluarga dan masyarakat dapat dijalankan secara berterusan dalam keadaan wabak berkenaan.

Ia turut disentuh Ahli Parlimen yang mahu tahu impaknya terhadap belia dan penjaja kecil.

Sidang Dewan Rakyat hari ini juga akan menyaksikan bacaan kali pertama untuk Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 dan RUU Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020 akan dibentang.

Sementara itu, RUU Koperasi (Pindaan) 2020, RUU Racun (Pindaan) 2019 dan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 akan dibentang untuk bacaan kali kedua.

Parlimen yang kembali bersidang hari ini turut melihat semua Ahli Parlimen dan petugas Parlimen dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah Covid-19 termasuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal di dalam dewan.

Kesemua mereka juga diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 yang dibuat di Bangunan Parlimen kira-kira seminggu sebelum sidang bermula.

Sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain