suria

Hanya 80 Ahli Parlimen dibenar hadir sesi pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat

Ahli Parlimen yang hadir akan ditentukan parti masing-masing.

HANYA 80 Ahli Parlimen dibenarkan untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat ketika pembentangan Belanjawan 2021, Jumaat ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan Ahli Parlimen dan sesi pembentangan berjalan lancar berikutan gelombang ketiga Covid-19 di negara ini.

Katanya, hasil perbincangan dengan Ketua Whip parti dan mengambil kira cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) beberapa keputusan telah dipersetujui.

"Pembentangan Belanjawan pada Jumaat hanya terhad kepada 80 Ahli Parlimen untuk hadir di Dewan Rakyat dengan 41 dari pihak kerajaan dan 39 lagi pembangkang serta Bebas.

"Ahli Parlimen yang hadir juga akan ditentukan parti masing-masing.

"Setiausaha Dewan Rakyat akan menyerahkan kad khas kepada Kota Baru (Datuk Takiyuddin Hassan) mewakili bloc kerajaan manakala bagi blok pembangkang dan Bebas kepada Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani)," katanya.

Beliau berkata, Ahli Parlimen yang hadir akan merekodkan kehadiran mereka di komputer riba masing-masing.

Sementara itu, bagi Ahli Parlimen yang tidak diberikan Kad Khas mereka boleh merekodkan kehadiran di setiap pintu blok masing-masing. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain