suria

Sayu... ibu Siti Nur Surya masih tak tahu anak dibunuh, sering tercari-cari

Ismail (kanan) bersama isteri dan anak-anaknya. -foto Sinar Harian

SITI Nur Surya Ismail, 19, yang ditemui mati dengan kesan tetakan di Kampung Lubuk Batu, Telemong, Hulu Terengganu di Terengganu merupakan satu kehilangan besar buat keluarganya.

Walaupun pemergian Allahyarham sudah lima hari berlalu, namun keluarga mangsa masih tidak mampu menceritakan hal sebenar kepada ibunya, Zaini Muda, 54.

Ismail Muda, 58, berkata, beliau memang tidak sanggup lagi hendak menceritakan kejadian sebenar menimpa anaknya kepada isteri setiap kali ditanya ke mana Allahyarham.

ARTIKEL BERKAITAN: Berat ujian keluarga mangsa bunuh rakan sekolah, Ebit Lew kongsi kisah 3 nabi... terharu dengar kebaikan Nur Surya

ARTIKEL BERKAITAN: Keterangan mencurigakan, remaja perempuan suspek kes bunuh rakan sekolah... ditahan reman 7 hari

"Memang isteri melihat jenazah arwah buat kali terakhir sebelum dikebumikan tetapi disebabkan faktor kesihatannya, dia cepat lupa dan selalu bertanya di mana kakak (arwah).

"Jadi, setiap kali ditanya, saya akan beritahu kakak sudah meninggal di hospital sebab demam panas.

"Saya tidak sanggup cerita hal sebenar kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan," katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Beladau Kepong di Hulu Terengganu, Khamis.

Beliau berkata, sehingga hari ini, isterinya sering kelihatan tercari-cari Allahyarham yang sentiasa berada di sampingnya sebelum ini.

Sementara itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri bersedia memberi khidmat kaunseling kepada ahli keluarga tersebut agar tidak terlalu tertekan dengan tragedi terbabit.

"Selain itu, kami akan mempertimbangkan bentuk bantuan yang bersesuaian bagi meringankan beban keluarga terutama bantuan lampin pakai buang untuk kegunaan Zaini," katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham.

Dalam kejadian awal November lalu, seorang remaja perempuan yang menjaga ibunya terlantar sakit ditemui mati di ruang tamu rumahnya dipercayai dibunuh dalam kejadian di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong di Hulu Terengganu.

Dalam kejadian itu, mangsa, Siti Nor Surya Ismail, 19, ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian ruang tamu rumah tersebut dengan pergelangan tangan kirinya putus dan kesan kecederaan lain pada bahagian muka serta badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Assisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 9 pagi dan mayat mangsa ditemui adik bongsunya yang berusia 15 tahun sebaik pulang dari sekolah kira-kira pukul 2.30 petang. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain