suria

Tragis pukul anak dengan kayu ketika kelas online, bapa ditahan

Polis menahan seorang lelaki disyaki memukul anak perempuannya semasa kelas online. -gambar hiasan

KISAH tragis apabila seorang pelajar disyaki dipukul bapanya ketika kelas secara dalam talian.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan pada Rabu, disyaki memukul anak perempuannya yang berusia 12 tahun dengan kayu semasa sesi pembelajaran secara dalam talian (online) di Seksyen 8, Petaling Jaya, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan di tempat letak kereta kira-kira 4 petang, di Kuala Lumpur berikutan pihaknya menerima laporan daripada guru sekolah rendah mangsa yang mengatakan lelaki itu bertindak memukul pelajarnya.

"Guru sekolah tersebut melihat mangsa dipukul oleh suspek dengan menggunakan sebatang kayu atau tongkat di bahagian belakang mangsa ketika kelas (dalam talian) sedang berjalan di rumah mangsa di Jalan SS4D/9 di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Sabtu lalu (31 Oktober)," katanya kepada Bernama, Khamis.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek memukul mangsa bertujuan untuk mengajar anaknya supaya lebih peka dan fokus ketika belajar semasa kelas dalam talian.

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau namun mengaku atas kesalahan dan dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan mangsa diserahkan kembali kepada keluarganya setelah pemeriksaan lanjut dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan