suria

Tak boleh balik kampung! Ketahui SOP Deepavali di kuil, rumah... ziarah di kawasan PKPD tidak dibenarkan

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerangkan prosedur operasi standard (SOP) bagi perayaan Deepavali yang akan disambut pada 14 November depan. Gambar hiasan

PENGANUT agama Hindu yang menetap di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan untuk merentas mukim, daerah dan negeri bagi tujuan menyambut perayaan di kampung.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menerangkan prosedur operasi standard (SOP) bagi perayaan Deepavali dalam sidang media pada petang Khamis.

Penganut agama Hindu di seluruh Malaysia bakal menyambut perayaan Deepavali yang jatuh pada 14 November depan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf... tak boleh balik kampung beraya” - PM umum PKPB... ketahui apa yang boleh dan tak boleh dilakukan mulai 4 Mei ini

Selain itu sesi upacara sembahyang hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja di kawasan-kawasan yang dilaksanakan PKPP dan PKPB dengan SOP ketat, antaranya kuil perlu menyediakan kaunter saringan suhu di pintu masuk dan tidak boleh melebihi 30 orang pada satu-satu masa, tertakluk kepada keluasan kuil.

"Sesi upacara sembahyang perlu diadakan bermula jam 7 pagi sehingga jam 12 tengahari dengan pembahagian sebanyak lima sesi sahaja (30 minit setiap sesi) dan diselangi dengan operasi sanitasi selama 30 minit sebelum memulakan sesi baharu.

"Kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera atau direkodkan di dalam buku kehadiran, penganut yang menghidap penyakit kronik, warga emas dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak digalakkan hadir," katanya.

Selain itu, tetamu di kediaman juga dihadkan kepada 20 orang pada satu-satu masa bagi jenis landed, dan tidak boleh melebihi 10 orang bagi kediaman jenis strata, dengan setiap individu digalakkan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakkan sosial.

"Di kawasan PKPD, upacara sembahyang di rumah ibadat (kuil) adalah tidak dibenarkan. Sambutan perayaan dibenarkan bagi seisi keluarga dalam rumah yang sama sahaja dengan memastikan penjarakan fizikal, kebersihan diri dan mengelakkan 3C.

"Melaksanakan sanitasi secara berkala terutamanya meja makan dan permukaan yang terdedah kepada banyak sentuhan.

"Bagaimanapun, aktiviti ziarah dikawasan PKPD adalah tidak dibenarkan," tegas Ismail.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Ismail turut mengarahkan pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati menipu dan tidak mematuhi SOP apabila menggunakan pencuci lantai sebagai 'hand sanitizer'.

"Kes seperti ini adalah membahayakan, dan ini juga penipuan di mana sepatutnya guna sanitizer tapi guna benda berbahaya. Saya harap bagi kes seperti ini, pihak polis tangkap saja dan ambil tindakan.

"Kita tak boleh berkompromi. Macam-macam kesan sampingan mungkin boleh berlaku kalau kita gunakan pencuci lantai untuk cuci tangan. Orang begini saya harap polis cari, ambil tindakan dan tangkap mereka," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain