suria

Tular rakaman 33 saat, lelaki cedera parah tekup leher hampir putus dengan kain

Siasatan awal mendapati mangsa tiada pengenalan diri dan dipercayai warga Myanmar.

NGERI.

Begitulah gambaran mengenai seorang lelaki yang hampir putus leher di Pasir Puteh, Kelantan.

Warga asing itu cedera parah apabila lehernya hampir putus ketika dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Anis, petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Mohd Azmir Damiri berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pihak hospital berkenaan pada 7.30 malam tadi.

“Sebaik menerima laporan, polis bergegas ke hospital tersebut untuk menyoal siasat mangsa tetapi keadaannya agak parah serta tidak boleh bercakap, ” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azmir berkata siasatan awal mendapati mangsa tiada pengenalan diri dan dipercayai warga Myanmar.

Jelasnya, siasatan menyeluruh masih dijalankan bagi mengenal pasti punca keadaan mangsa dan masih belum dapat mengesahkan sama ada leher mangsa disembelih dalam kejadian pergaduhan sebagaimana yang ditularkan dalam media sosial.

Malam tadi, tular satu rakaman video berdurasi 33 saat, yang memaparkan seorang lelaki sedang menekup lehernya dengan sehelai kain sebelum memperlihatkan keadaan lehernya yang sudah terbelah dua sehingga terlihat kerongkong. - BERNAMA.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain