SEBILAH pisau yang digunakan suspek untuk membunuh Siti Nur Surya Ismail, 19, ditemui di tepi lebuh raya Telemong dekat Kuala Berang, Hulu Terengganu. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Daud berkata senjata itu dipercayai diambil suspek di rumah mangsa dan digunakan sebagai senjata untuk membunuhnya pada Ahad lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... ibu Siti Nur Surya masih tak tahu anak dibunuh, sering tercari-cari “Pisau pemotong sayur berkenaan dibuang di tepi lebuh raya Telemong yang dianggarkan kira-kira tiga hingga empat kilometer dari rumah mangsa. Ia dijumpai pada hari ketiga selepas kejadian," katanya ketika ditemui pemberita selepas Operasi Bersepadu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 di Hulu Terengganu, Jumaat malam. Selain itu, Mohd Adli berkata hampir 20 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk keluarga suspek dan mangsa. Dalam kejadian pada 1 November lepas, Siti Nur Surya, yang menjaga ibunya yang terlantar akibat sakit kanser otak, ditemukan mati dengan kesan tetakan pada badan, di samping putus tangan kiri dipercayai dibunuh rakan baiknya di Kampung Lubuk Batu, Telemong. Mayatnya ditemukan adik perempuan arwah yang berusia 15 tahun semasa pulang dari sekolah kira-kira 2.30 petang. - BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!