JURUTERBANG Mohamed Sabri Baharon yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Taman Melawati merupakan anak yang penyayang dan menjaga ibunya yang sudah tua sejak 14 tahun lalu. Adik lelakinya, Mohd Faris berkata, abangnya tidak pernah mengeluh menjaga ibu mereka, Intan Omar, 74. "Dia tidak banyak bercakap tetapi selalu memaklumkan kepada keluarga mengenai kegiatannya. ARTIKEL BERKAITAN: Nahas helikopter: Jenazah Mohd Irfan, Mohamed Sabri selamat dikebumikan "Saya sering mengikut dia terbang dan kali terakhir pada Hari Malaysia," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Radhatul Sakinah di Batu Caves, Isnin. Jenazah Mohamed Sabri, 56, yang juga bekas pegawai tentera laut, dikebumikan kira-kira pukul 2.15 petang. Ahli keluarga kelihatan sebak ketika hadir pada upacara pengebumian jenazah Mohamed Sabri. Ahli keluarga dan rakan-rakan yang pernah berkhidmat dengannya turut hadir mengucapkan selamat tinggal. Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Malaysia Airlines Bhd, Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Eian yang terselamat dalam nahas itu juga hadir untuk memberi penghormatan terakhir. Sementara itu, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, yang menghadiri pengkebumian berkata meskipun Mohamed Sabri telah meninggalkan tentera laut 10 tahun yang lalu tetapi dia meninggalkan warisan abadi dengan semangatnya. "Sumbangannya kepada angkatan laut tidak ternilai harganya, terutama dalam penerbangan tentera laut. "Dia akan selalu dikenang dan dihargai anggota dan pegawai kami," katanya. - The Star Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!