suria

Menteri Agama pertahan Dr Noor Hisham susulan dakwaan takut mati - “Kami yakin kematian menjengah bila-bila masa”

Dr Zulkifli mempertahankan Dr Noor Hisham menerusi ciapan di Twitter susulan dakwaan 'takut mati' sebagaimana dakwaan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing di Parlimen pada Rabu.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mempertahankan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dengan mengatakan bahawa Ketua Pengarah Kesihatan itu telah melakukan yang terbaik untuk negara.

Menerusi ciapan di Twitter, Zulkifli berkata dia berharap kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing di Parlimen pada Rabu adalah tidak bermaksud untuk menjadikan Dr Noor Hisham sebagai sasaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Noor Hisham jawab dakwaan takut mati - “Turun padang atau tidak, kematian itu berlaku di mana-mana... yang penting niat”

ARTIKEL BERKAITAN: MP Bintulu akui tak bermaksud jadikan Dr Noor Hisham sasaran, hanya mahu sampaikan kekecewaan frontliners dan rakyat

"KP (Ketua Pengarah) Kesihatan sudah buat yang terbaik, sesuai dengan posisi beliau. KP kesihatan adalah antara individu terpenting dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

"Saya yakin, kita semua bersetuju bahawa beliau perlu kekal sihat, bersemangat dan terus berjuang bersama-sama semua barisan hadapan demi maslahah negara," tulisnya.

Pada Rabu, King Sing ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Parlimen, mempersoalkan mengapa Dr Noor Hisham tidak turun padang di Sabah, negeri yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Dr Noor Hisham 'takut mati' apabila tidak ke Sabah ketika Covid-19 merebak di negeri itu.

Dalam pada itu Zulkifli menambah dengan mengatakan bahawa di dalam Islam, konsep kematian itu mudah di mana hanya Allah yang kekal.

"Konsep kematian dalam Islam amat mudah. Kami yakin kematian menjengah bila-bila masa. Hanya Allah SWT sahaja yang Hidup Kekal dan tidak mati.

"Hanya Dia Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa Yang Kekal Abadi. Muslim tidak takut mati tetapi kami sentiasa digalakkan untuk mengingati mati," tulisnya lagi. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan