suria

Guna surat palsu minta sumbangan majlis doa selamat Covid-19, dua rakan didakwa di mahkamah

Mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan cuba menipu seorang doktor bagi memohon sumbangan untuk majlis bacaan tahlil dan doa selamat Covid-19. (Gambar Hiasan)

BAGAI menangguk di air keruh.

Begitulah kisahnya melibatkan dua rakan yang didakwa menggunakan surat palsu bagi meraih sumbangan Covid-19.

Terbaharu, mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa atas pertuduhan cuba menipu seorang doktor dengan memberikan surat palsu bagi memohon sumbangan untuk majlis bacaan tahlil dan doa selamat berhubung Covid-19.

Mohd Rizul Fuadzam Abu Bakar, 44, dan Mohamad Razif Mohamad Razlan, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Mereka didakwa bersama-sama cuba menipu Dr Kwan Mun Keong, 50, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa surat itu adalah tulen bagi tujuan meminta sumbangan wang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah klinik di Pusat Perubatan Universiti Malaya Kuala Lumpur pada 5.44 petang, 9 November lepas, mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, doktor terbabit yang ingin memberi sumbangan sebanyak RM10,000 menyedari dia ditipu setelah meminta rakannya mengenal pasti surat tersebut sama ada tulen atau palsu.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh.

Mohd Rizul Fuadzam merayu jaminan rendah kerana dia yang telah diberhentikan kerja sejak April lepas perlu menyara isteri yang sedang sarat mengandung serta lima orang anak manakala Mohamad Razif yang merupakan penjual kereta juga memohon jaminan rendah atas alasan dia menyara ibu bapanya.

Aina Azahra membenarkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu masing-masing diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Januari 2021 untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Terdahulu, di mahkamah majistret lain, Mohd Rizul Fuadzam mengaku tidak bersalah atas tuduhan memalsukan surat memohon sumbangan untuk majlis bacaan tahlil dan doa selamat juga berhubung Covid-19, bagi tujuan hendak menipu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi dan masa sama, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohamad Farid tidak menawarkan jaminan.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari 2021 untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain