suria

“Tinggal saya seorang... saya kesunyian” - Tun M luah rasa sedih, ramai sahabat sudah meninggal dunia

Dr Mahathir meluahkan rasa sedih dan sunyi kerana ramai sahabatnya sudah meninggal dunia.

PEMERGIAN tokoh politik Kedah, Khalid Julong yang menghembuskan nafas terakhir pada Rabu (semalam), disifatkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai kehilangan yang besar.

Dalam tulisan terbaru di blog miliknya, Chedet.cc, Dr Mahathir meluahkan rasa sedih di atas berita kematian sahabatnya itu.

"Khalid Julong meninggal pada 18 November 2020. Dengan pemergiannya maka tamatlah satu generasi pejuang Melayu," tulisnya.

Khalid atau nama sebenarnya, Tan Sri Khalid Abdullah, 98, dilaporkan meninggal dunia akibat sakit tua di Kedah Medical Centre (KMC), pada Rabu.

Selain pemergian Khalid, bekas Perdana Menteri itu turut meluahkan rasa kesunyian selepas rakan-rakannya yang lain meninggal dunia.

"Khalid, Azahari Taib, Khir Johari, Khir Pa’ Awang, Hj Taha, Chegu Senu dan lain-lain sudah tidak ada.

"Tinggal saya seorang. Saya sedih. Semua mereka kawan lama. Saya kesunyian," katanya.

Mengimbau detik perkenalan, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau dan Khalid bersama selepas tamat sahaja perang Dunia Kedua.

"Kami berada dalam Saberkas, sekumpulan anak Melayu yang memiliki kesedaran akan bangsanya," katanya.

Menurutnya, British merancang untuk merampas negeri-negeri Melayu untuk dijadikan tanah jajahan mereka.

"Malayan Union akan tamatkan kewujudan orang Melayu dengan Tanah Melayu mereka," katanya.

Dalam hantaran itu, beliau turut mendoakan semoga roh Allahyarham Khalid dirahmati Allah.

Khalid selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Al Hussain di Alor Setar, pada Rabu. - SINAR HARIAN



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain